Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Surah Al-Anfal: Siri 22

371
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Anfal: Siri 22

Ayat: 57-59 : Perkara yang Perlu Dilakukan Kepada Orang Kafir yang Melanggar Janji

? Firman Allah serta terjemahannya:

فَإِمَّا تَثْقَفَنَّهُمْ فِي الْحَرْبِ فَشَرِّدْ بِهِمْ مَنْ خَلْفَهُمْ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ (٥٧)

Jika kamu menemui mereka dalam peperangan, maka cerai-beraikanlah orang-orang yang di belakang mereka dengan (menumpas) mereka, supaya mereka mengambil pelajaran.

وَإِمَّا تَخَافَنَّ مِنْ قَوْمٍ خِيَانَةً فَانْبِذْ إِلَيْهِمْ عَلَى سَوَاءٍ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْخَائِنِينَ (٥٨)

Dan jika kamu khawatir akan (terjadinya) pengkhianatan daripada suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berkhianat.

وَلا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا سَبَقُوا إِنَّهُمْ لَا يُعْجِزُونَ (٥٩)

Dan janganlah orang-orang yang kafir itu mengira bahawa mereka akan dapat lolos (daripada kekuasaan Allah). Sesungguhnya mereka tidak dapat melemahkan (Allah).

? Tafsir ringkas:

1. Ayat sebelumnya menceritakan tentang orang kafir adalah seburuk-buruk makhluk kerana tidak beriman dan merosakkan janji yang dibuat. Oleh sebab itu, Allah menyeru orang Islam agar memberi pengajaran kepada orang kafir, jika menang ke atas mereka dalam sesuatu peperangan maka tidak boleh berlembut dengan mereka, dan mengkucar-kacirkan pergerakan mereka sehingga tidak mampu untuk bangkit melawan serta membiarkan mereka rasa gerun untuk melawan Islam.

2. Allah menyuruh kita agar berterus-terang jika kita risau dan syak terhadap perjanjian dengan orang kafir, pulangkan kembali perjanjian tersebut secara jujur, bukannya berselindung dan mengkhianati perjanjian. Allah tidak menyukai golongan yang mengkhianati. Rasulullah SAW diizinkan memerangi orang yang mengkhianati perdamaian. Abu Syeikh meriwayatkan daripada Ibnu Syihab, dia berkata, “Jibril datang menemui Rasulullah SAW sambil berkata, ‘ Engkau telah meletakkan senjata dan terus menerus mengajak mereka (melaksanakan perdamaian). Sesungguhnya Allah telah memberi izin kepadamu (untuk memerangi) Bani Quraizah, dan gempurlah mereka. ‘Maka turunlah ayat ini (sebagai izin untuk memerangi orang-orang yang mengkhianati perdamaian).” (Asbabun nuzul, As-Suyuti)

3. Allah memberi peringatan kepada orang kafir, mereka tidak dapat melarikan diri dan menyelamatkan diri mereka, sesungguhnya mereka tidak dapat melemahkan Allah SWT.

? Pengajaran

1. Kita hendaklah bertegas dengan orang kafir supaya mereka tidak dapat mengambil kesempatan melawan Islam.

2. Kita juga hendaklah memberi peringatan kepada orang yang membantah pelaksanaan hukum Islam, agar mereka tidak memandang ringan dalam hal ehwal Islam.

3. Apabila kita membuat perjanjian samada dengan orang kafir atau sesama muslim, hendaklah kita menjaga perjanjian tersebut, selagi tidak berlaku pengkhianatan. Walau bagaimanapun, bagi perjanjian dengan orang kafir, walaupun belum berlaku khianat, tetapi timbul rasa risau, tidak percaya atau syak terhadap perjanjian tersebut, hendaklah kita berterus-terang dengan mereka dengan memulangkan kembali perjanjian tersebut.

4. Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh melawan perancangan musuh Islam, dan tidak perlu merasa takut atau risau akan mereka walaupun mereka lebih banyak mendominasi dunia zaman ini, kerana sebenarnya mereka itu lemah, tidak dapat lari menyelamatkan diri daripada Allah SWT.

? Rujukan: Ibnu Katsir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
4 Mei 2021 / 22 Ramadhan 1442