Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Anfal: Siri 18

190
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Anfal: Siri 18

Ayat: 47-49: Amaran kepada Orang Muslim Supaya Tidak Mengikuti Sikap Orang Kafir Sebelum ke Medan Perang

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ خَرَجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بَطَرٗا وَرِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ (٤٧)

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari negerinya dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan mereka) kepada orang ramai (kerana hendak meminta dipuji), serta mereka pula menghalang manusia dari jalan Allah dan (ingatlah) Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka kerjakan.

وَإِذۡ زَيَّنَ لَهُمُ ٱلشَّيۡطَٰنُ أَعۡمَٰلَهُمۡ وَقَالَ لَا غَالِبَ لَكُمُ ٱلۡيَوۡمَ مِنَ ٱلنَّاسِ وَإِنِّي جَارٞ لَّكُمۡۖ فَلَمَّا تَرَآءَتِ ٱلۡفِئَتَانِ نَكَصَ عَلَىٰ عَقِبَيۡهِ وَقَالَ إِنِّي بَرِيٓءٞ مِّنكُمۡ إِنِّيٓ أَرَىٰ مَا لَا تَرَوۡنَ إِنِّيٓ أَخَافُ ٱللَّهَۚ وَٱللَّهُ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ (٤٨)

Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun daripada umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu”. Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: “Aku berlepas diri daripada kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksa-Nya”.

إِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ غَرَّ هَٰٓؤُلَآءِ دِينُهُمۡۗ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٞ (٤٩)

(Ingatlah) ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang ada penyakit (syak) dalam hatinya berkata: “Orang-orang (Islam) itu telah diperdayakan oleh ugama mereka (sehingga mereka berani menentang kami yang lebih besar bilangannya)”. Dan (yang sebenarnya) sesiapa yang bertawakal kepada Allah (dengan sepenuh-penuh yakin, maka Allah akan menolongnya untuk mengalahkan musuh yang lebih besar bilangannya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

? Tafsir ringkas:

1. Selepas menyeru orang beriman agar thabat ketika berhadapan dengan musuh, Allah SWT mengingatkan mereka agar ikhlas dalam berjihad dan membanyakkan zikir. Allah SWT melarang mereka bersifat seperti orang musyrik yang angkuh dan bersikap sombong sehingga berasa diri mereka hebat dan tidak mungkin akan kalah dalam pertempuran ini.

2. Ketika Perang Badar, Iblis menyerupai Suraqah bin Malik lalu berkata kepada kaum musyrikin bahawa mereka pasti menang dan dia akan melindungi mereka. Kemudian, apabila kedua-dua pihak berhadapan dan bertempur, Iblis melihat para malaikat di pihak kaum muslimin lalu dia segera melarikan diri.

3. Pada ayat 49, sebilangan orang munafik di Mekah mengatakan bahawa tentera muslimin seperti ditipu oleh agama sendiri, kerana mereka melihat jumlah pasukan kaum mukmin yang sedikit justeru yakin mereka pasti tentera musyrikin akan mengalahkan kaum mukmin itu.

4. Lalu Allah SWT menegaskan bahawa tidak akan terbiar orang yang berlindung dan berserah diri kepada-Nya. Kerana Dia akan menolong orang yang berhak mendapat kemenangan dan menghinakan orang yang berhak mendapat kekalahan.

? Pengajaran

1. Janganlah berasa tinggi diri dan lebih baik daripada orang lain apabila bergerak di lapangan melakukan kerja-kerja amal Islami.

2. Lazimilah doa dan zikrullah agar hati dan niat tidak terpesong semasa melakukan kerja-kerja dakwah. Sesungguhnya syaitan sangat licik dan sentiasa berusaha memesongkan niat manusia.

3. Musuh-musuh Islam akan sentiasa memperlekeh kerja-kerja orang beriman. Pasakkan keazaman yang kukuh dalam diri dan jangan endahkan kata-kata mereka itu, selagi mana perkara yang dilakukan itu benar dan tidak bertentangan dengan syariat.

4. Bertawakkal dan sentiasalah berdoa memohon bantuan dan perlindungan Allah SWT. Hanya perlindungan daripada Allah SWT sahajalah yang manusia perlukan, dan bukannya perlindungan daripada makhluk yang lemah.

? Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
30 April 2021 / 18 Ramadhan 1442