Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Anfal: Siri 11

201
SHARE

📓📓 Tadabbur Al Quran 📓📓
Surah Al-Anfal: Siri 11

Ayat : 30-33 : Sikap orang kafir yang degil dan enggan menerima dakwah Rasulullah SAW

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ ۚ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ ٱللَّهُ ۖ وَٱللَّهُ خَيْرُ ٱلْمَـٰكِرِينَ (٣٠)

_”“Dan ingatlah (wahai Muhammad) tatkala orang-orang kafir Musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu,
mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka) kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.”

وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتُنَا قَالُوا۟ قَدْ سَمِعْنَا لَوْ نَشَآءُ لَقُلْنَا مِثْلَ هَـٰذَآ ۙ إِنْ هَـٰذَآ إِلَّآ أَسَـٰطِيرُ ٱلْأَوَّلِينَ (٣١)

“Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat kami mereka berkata: “Sesungguhnya kami telah mendengarnya, kalau kami mahu nescaya kami dapat mengatakan (kata-kata) seperti (Al-Qur’an) ini. Al-Qur’an ini tidak lain hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala”

وَإِذْ قَالُوا۟ ٱللَّهُمَّ إِن كَانَ هَـٰذَا هُوَ ٱلْحَقَّ مِنْ عِندِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةًۭ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ أَوِ ٱئْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍۢ (٣٢)

Dan ingatlah, ketika mereka
(kaum musyrik Mekah) berkata: “Wahai Tuhan kami, jika betul (Al-Qur’an) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit atau datangkanlah kepada kami dengan azab siksa yang tidak terperi sakitnya”

وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنتَ فِيهِمْ ۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ (٣٣)

Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksakan mereka sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka, dan tidaklah
pula Allah akan menyeksakan mereka sedang mereka beristighfar.

📖 Tafsir ringkas:

1. Setelah menyatakan beberapa perintah kepada orang beriman, Allah SWT mengingatkan mereka tentang sikap dan permusuhan golongan musyrikin Mekah kepada Rasulullah SAW dan orang-orang beriman suatu ketika dahulu. Perkara ini bertujuan untuk menguatkan keyakinan orang beriman bahawa Allah SWT sentiasa bersama mereka.

2. Permusuhan musyrikin Mekah kepada Rasulullah SAW sampai ke kemuncak apabila mereka merancang untuk membunuh Baginda SAW, namun rancangan mereka digagalkan oleh Allah. Bahkan Allah SWT melindungi Nabi SAW sehingga Baginda selamat tiba di Madinah.

3. Allah SWT turut menjelaskan sikap angkuh musyrikin Mekah yang mendakwa mereka mampu mencipta ayat-ayat seperti al-Quran, bahkan mereka mendakwa bahawa al-Quran itu hanyalah setaraf cerita dongeng dahulu kala.

4. Lebih dahsyat lagi mereka mencabar Allah SWT agar mendatangkan azab kepada mereka, jika benar al-Quran itu adalah daripada-Nya.

5. Walau bagaimanapun, Allah SWT tidak mendatangkan sebarang azab buat mereka, bukan kerana membenarkan dakwaan palsu itu, tetapi kerana Rasulullah SAW ada di sekitar mereka, di samping ada dalam kalangan orang Islam yang sentiasa beristighfar kepada Allah SWT.

🎀 Pengajaran:

1. Penentangan terhadap Islam akan sentiasa berlaku sepanjang zaman. Kelompok ini akan menggunakan kekerasan dan apa jua cara untuk menjatuhkan Islam. Contohilah
dakwah Rasulullah SAW melalui cara menyampaikan, membina, dan
membersihkan jiwa dengan sabar.

2. Janganlah takut dan gentar dalam menyahut seruan dakwah ini kerana Allah sentiasa melindungi para pengikut jalan kebenaran. Barangsiapa yang memusuhi orang-orang mukmin, maka bererti mereka akan berhadapan dengan Allah.

3. Pejuang kebenaran haruslah yakin dengan kemukjizatan Al-Qur’an yang mana ia tetap utuh menjadi hujjah untuk mematahkan dakwaan batil kaum yang musyrik sepanjang
zaman.

4. Kita perlulah bersabar menghadapi penentang agama yang bersikap keras kepala sehingga mempertaruhkan kehancuran diri sendiri dengan merasa diri mereka berada di pihak yang benar.

5. Satu kelebihan yang diberikan kepada Rasulullah SAW dan para wali Allah ialah keberadaan mereka mungkin menjadi asbab Allah mengalihkan bencana dan menangguhkan azab disebabkan kemuliaan mereka di sisi Allah. Oleh itu, pastikan kita hidup dalam lingkungan orang-orang yang soleh; moga-moga kemuliaan mereka turut memberikan kebaikan kepada kita.

6. Taubat dan beristighfar bukan hanya menghilangkan siksa pada hari akhirat, tetapi juga azab dunia. Oleh itu, setiap abnaul haraki hendaklah menjadikan taubat dan istighfar sebagai amalan harian demi keselamatan di dunia mahupun di akhirat.

📚 Rujukan:
1.Tafsir Ibu Kathir
2.Tafsir Pimpinan al-Rahman

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
23 April 2021 / 11 Ramadhan 1442

#baca&sebar
#siritadabbursurahalanfal