Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Ramadhan: Pakaian Wanita Beriman Menurut al-Quran

1515
SHARE

??Tadabbur Ramadhan??
Siri 22/1439H

Surah Al-Ahzab: Ayat 59: Pakaian Wanita Beriman Menurut Al-Quran

? Firman Allah serta terjemahannya:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا (٥٩)

Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

? Tafsir ringkas:

1. Allah SWT memerintahkan kepada RasulNya agar memerintahkan kepada kaum wanita yang beriman, khususnya isteri-isteri baginda dan anak-anak perempuannya untuk menyempurnakan pakaian mereka antaranya dengan melabuhkannya untuk menampakkan perbezaan dengan wanita jahiliah.

2. Dalam satu riwayat menceritakan bahawa kaum lelaki yang fasik dari kalangan penduduk Madinah gemar keluar pada waktu malam. Pada satu ketika, kaum wanita telah keluar pada waktu malam untuk menunaikan hajatnya (buang air) dan orang-orang fasik berkenaan mengambil kesempatan untuk menganggu mereka. Tetapi apabila melihat kaum wanita tersebut telah menutup seluruh tubuhnya, mereka berkata sesama mereka untuk tidak menganggu kerana mereka wanita yang merdeka.

3. Sebelum turunnya ayat di atas, cara berpakaian wanita merdeka yang beriman dan wanita jahiliah dikatakan hampir sama. Maka apabila turunnya ayat ini telah menghindarkan kaum wanita yang beriman dari diganggu kerana dengan menutup aurat itu mereka telah dikenali sebagai wanita yang melindungi diri dan maruah.

Pengajaran

1. Sebagai wanita yang beriman, kita wajib berpakaian sebagaimana yang telah didesignkan oleh al-Quran. Ketika keluar di khalayak, pakailah pakaian dengan sempurna dan menutup seluruh aurat kita iaitu meliputi seluruh tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan. Kewajipan menutup aurat adalah sepertimana wajib untuk orang Islam menunaikan solat, puasa, zakat dan kewajipan lain.

2. Menyintai dan mengamalkan sunnah nabi adalah dengan mencontohi pakaian isteri-isteri nabi yang sudah jelas diperakui oleh al-Quran tentang signifikannya.

3. Apabila ditanya, mengapa kamu berpakaian begini : menutup aurat dan bertudung? Maka jawablah sepertimana yang dikatakan oleh al-Quran iaitu: “Ia adalah pakaian yang memudahkan kami untuk dikenali sebagai wanita Islam/beriman. Ia juga menjadi perisai yang melindungi kami dari pandangan liar dan gangguan jahat.”

4. Memperkenalkan pakaian wanita beriman dan memasyhurkan design jilbab yang labuh sebagaimana yang dikodkan oleh al-Quran dan hukumnya adalah wajib yang menjadi sebuah ketetapan syarak yang  mutlak bagi wanita muslimat mukminat yang muda dan dewasa.

5. Fahami dengan betul apa makna jilbab yang dilabuhkan menurut ayat. Secara dasarnya ia adalah apa sahaja pakaian yang longgar, luas dan labuh yang menutupi seluruh tubuh, bentuk badan dan aurat wanita dari kepala hinggalah kaki kecuali muka dan kedua telapak tangan hingga pergelangannya sahaja. Boleh jadi, jilbab juga mempunyai komponen-komponennya iaitu baju atau jubah, seluar panjang, tudung labuh, stokin dan sarung tangan.

6. Dunia fesyen serta perubahan imej yang berkembang harus diteliti dengan menonjolkan idea pemakaian islam, adab dan juga penjagaan aurat. Islam tidak melarang untuk berfesyen malah Islam mencerminkan kecantikan dan kekemasan akan tetapi pakaian yang dipilih perlulah menutup aurat.

?Rujukan: 
Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
22 Ramadhan 1439 / 7 Jun 2018