Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Ramadan : Kewajipan Berdakwah dan Uslubnya

3655
SHARE

? Tadabbur Ramadhan ?
Siri 14/1439H

Surah An-Nahl: Ayat 125-128: Kewajipan Berdakwah Dan Uslubnya

? Firman Allah serta terjemahannya:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ ١٢٥

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُمْ بِهِ ۖ وَلَئِنْ صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِلصَّابِرِينَ ١٢٦

Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.

وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِاللَّهِ ۚ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِي ضَيْقٍ مِمَّا يَمْكُرُونَ ١٢٧

Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.

إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ ١٢٨

Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

? Tafsir ringkas:

1. Ayat ini menjelaskan cara berdakwah, mengajarkan dan menyebarkan ajaran Islam. Allah SWT menyarankan kepada Nabi Muhammad SAW 3 uslub (cara) bagi menyeru manusia kepada Allah iaitu;

i. Hikmah – cara yang boleh diterima oleh orang lain dan menempatkan segala sesuatu pada tempatnya.

ii. Mau’izah Hasanah – nasihat dan tutur kata yang baik.

iii. Mujadalah Hasanah – berhujah dan berdiskusi dengan baik, rasional dan harmoni.

2. Dalam menghadapi ujian dakwah dan ranjau perjuangan ketika berhadapan dengan musuh, Allah mengizinkan untuk membalas kejahatan yang dilakukan orang-orang yang membenci dakwah ini. Berdasarkan sebab penurunan ayat 126, ulama sepakat ayat ini turun ketika perang Uhud, di mana Allah SWT memerintahkan untuk berbuat adil dalam qisas (pembalasan) dan seimbang dalam menunaikan hak.

3. Namun demikian, Allah memberikan nasihat kepada Nabi Muhammad SAW agar sentiasa bersabar ketika berhadapan dengan musuh Islam kerana itu adalah langkah yang terbaik. Akhirnya Nabi memilih untuk memaafkan dan bersabar atas kebiadapan orang kafir dan perangai keji mereka yang melampaui batas kemanusiaan. Inilah tanda aras bagi orang-orang yang bertaqwa dan muhsinin.

? Pengajaran:

1. Pendakwah Islam haruslah memperlengkapkan diri dengan kemahiran berdakwah dan skill komunikasi bagi menyampaikan agama Islam dengan berkesan agar mudah diterima orang ramai dengan pendekatan yang sesuai dengan mad’u (sasaran dakwah) yang pelbagai tahap dan perwatakan.

2. Sentiasa mengamalkan 3 uslub dakwah di atas dalam menyampaikan dakwah sama ada secara bersemuka ataupun melalui penulisan di media sosial.

3. Pejuang Islam boleh melayan provokasi musuh dan memberi tindak balas yang setara dengannya, namun bersabar dan berlapang dada adalah lebih baik.

4. Mintalah kesabaran daripada Allah kerana ia tidak dapat diraih melainkan dengan berkat kehendak Allah dan pertolongan-Nya, serta berkat upaya dan kekuatan-Nya.

5. Ubatilah hati yang luka serta rasa dukacita dengan memperbanyak zikir dan mengingati janji-janji Allah terhadap orang-orang yang berjuang di jalanNya.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
14 Ramadhan 1439 / 30 Mei 2018