Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Al Quran Surah Al-Ahzab: Siri 7

1134
SHARE

??Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Ahzab: Siri 7

Ayat 19-20: Jejak–Jejak Perang Ahzab

? Firman Allah serta terjemahannya:

أَشِحَّةً عَلَيْكُمْ ۖ فَإِذَا جَاءَ الْخَوْفُ رَأَيْتَهُمْ يَنظُرُونَ إِلَيْكَ تَدُورُ أَعْيُنُهُمْ كَالَّذِي يُغْشَىٰ عَلَيْهِ مِنَ الْمَوْتِ ۖ فَإِذَا ذَهَبَ الْخَوْفُ سَلَقُوكُم بِأَلْسِنَةٍ حِدَادٍ أَشِحَّةً عَلَى الْخَيْرِ ۚ أُولَٰئِكَ لَمْ يُؤْمِنُوا فَأَحْبَطَ اللَّهُ أَعْمَالَهُمْ ۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا

Mereka kedekut terhadapmu. Apabila datang ketakutan (bahaya) kamu lihat mereka memandang kepadamu dengan mata yang terbelalak seperti orang yang pengsan kerana akan mati, dan apabila ketakutan telah hilang, mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam, sedang mereka kedekut untuk membuat kebaikan. Mereka itu telah beriman, maka Allah menghapuskan amalannya. Demikian itu mudah bagi Allah.

يَحْسَبُونَ الْأَحْزَابَ لَمْ يَذْهَبُوا ۖ وَإِن يَأْتِ الْأَحْزَابُ يَوَدُّوا لَوْ أَنَّهُم بَادُونَ فِي الْأَعْرَابِ يَسْأَلُونَ عَنْ أَنبَائِكُمْ ۖ وَلَوْ كَانُوا فِيكُم مَّا قَاتَلُوا إِلَّا قَلِيلًا

Mereka menyangka bahawa golongan-golongan yang bersekutu itu belum pergi, dan jika golongan-golongan yang bersekutu itu datang kembali, nescaya mereka ingin berada di dusun-dusun bersama Arab Badwi sambil bertanyakan berita tentang kami. Dan sekiranya mereka berada bersamamu, mereka tidak akan berperang melainkan sebentar sahaja.

? Tafsir ringkas:

1. Ayat ini adalah kesinambungan daripada ayat sebelumnya yang menyatakan tentang sifat pengecut orang munafik dalam menghadapi peperangan.

2. Pada zahirnya, orang-orang munafik nampak sangat mengambil berat akan keselamatan diri orang-orang Islam. Seolah-olah, dalam hal ini, mereka tidak mempunyai rasa takut. Tapi jika rasa takut kepada musuh atau kepada Rasulullah SAW benar-benar telah datang, mereka akan memandang Nabi Muhammad SAW dengan mata yang berputar-putar kebingungan, umpama orang yang tidak sedarkan diri menghadapi sakaratul maut. Sebaliknya, jika rasa takut itu telah hilang, mereka mencaci orang Islam dengan cacian yang amat pedih. Mereka juga sangat malas melakukan kebaikan, kerana mereka tidak benar-benar beriman.

3. Orang-orang munafik merasa amat takut kerana mereka menyangka bahawa pasukan Ahzab itu belum berundur lagi. Seandainya pasukan Ahzab itu kembali semula ke Madinah, orang-orang munafik itu berharap agar mereka tidak tinggal di Madinah, tetapi tinggal bersama orang-orang Arab Badwi di pedalaman dan mereka hanya akan bertanya khabar tentang orang-orang beriman dari jauh sahaja kerana mereka sebenarnya adalah sangat pengecut. Seandainya mereka bersama orang beriman pula, nescaya mereka tidak akan berperang bersama kecuali sedikit sekali, kerana mereka sangat takut dan lemah. Mereka hanya berperang jika bakal mendapat kemenangan dan habuan.

? Pengajaran:

1. Sesungguhnya kepura-puraan golongan munafik akan terserlah tatkala diminta untuk melakukan pengorbanan terhadap Islam. Sebagai seorang mukmin, kita hendaklah membersihkan sifat berpura-pura dalam diri seperti ini.

2. Tetap teguhlah bersama kumpulan yang memperjuangkan Islam dan kepimpinannya agar kita dapat beristiqamah melaksanakan agama dalam kehidupan dan sentiasa dipimpin ke arah mencapai matlamat perjuangan yang sebenar.

3. Hadamkan ilmu fardhu ain dan tambahkan dengan ilmu fardhu kifayah sebagai cara untuk membina keyakinan terhadap perjuangan Islam dalam diri kita.

? Rujukan:
1)Tafsir Fi Zilal
2) Tafsir Al Jalalayn
3) Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
30 April 2020 / 7 Ramadan 1441