Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur as Sajdah Siri 14

2166
SHARE

 

?? Tadabbur Surah As-Sajdah??
_Siri 14_

Ayat: 28 – 30 (Hari Kebangkitan adalah satu kepastian dan hari penyesalan)

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَيَقُولُونَ مَتَى هَذَا الْفَتْحُ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ – ٢٨

_Dan mereka bertanya, “Bilakah datangnya hari keputusan pengadilan ini jika kamu orang-orang yang benar?”._

قُلْ يَوْمَ الْفَتْحِ لَا يَنْفَعُ الَّذِينَ كَفَرُوا إِيمَانُهُمْ وَلا هُمْ يُنْظَرُونَ – ٢٩

_Katakanlah, “Pada hari keputusan pengadilan itu tidak berguna kepada orang-orang kafir keimanan mereka dan tidak pula mereka diberi tempoh.”_

فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ وَانْتَظِرْ إِنَّهُمْ مُنْتَظِرُونَ – ٣٠

_Oleh itu berpalinglah kamu dari mereka dan tunggulah, sesungguhnya mereka juga menunggu._

? Tafsir ringkas:

1. Surah As-Sajadah diakhiri dengan janji keputusan hari pengadilan di mana Allah mengesahkan sikap orang-orang kafir yang meragui kebenaran amaran dan ancaman azab Akhirat. Lalu mereka mencabar supaya dipercepatkan kedatangan azab yang dijanjikan itu.

2. Al-Quran memberikan jawapan bahawa azab yang dipinta supaya disegerakan itu akan dilaksanakan pada hari Kiamat dan mengancam bahawa pada ketika itu iman mereka tidak lagi berguna dan mereka tidak akan diberi tempoh untuk bertaubat dan membetulkan segala kesalahan yang telah lepas. Sebenarnya, penangguhan kedatangan Hari Pengadilan itu kepada waktu yang telah ditetapkan merupakan satu nikmat dan peluang yang Allah berikan untuk mereka bertaubat.

3. Surah ini diakhiri dengan sebuah perintah kepada Rasulullah S.A.W supaya jangan menghiraukan mereka dan tinggalkan sahaja mereka kepada nasib kesudahan yang telah ditentukan kepada mereka. Kenyataan yang amat mendalam ini diturunkan setelah berbagai cara dan usaha dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam menyebarkan kebenaran agama Islam, namun segala bentuk tentangan dan halangan sentiasa dilakukan oleh orang-orang kafir terhadap dakwah Rasulullah SAW.

? Pengajaran

1. Mempercayai adanya Hari Pengadilan adalah wajib, bahkan ia termasuk dalam rukun Iman. Maka segala tindak-tanduk dan kerja yang kita lakukan di dunia ini akan dihitung dan diberi balasan oleh Allah. *Ayuh tingkatkan kebaikan dan jauhi segala larangan*.

2. Contohi sikap dakwah Rasulullah SAW kepada orang-orang kafir. Tatkala segala usaha sudah dilakukan, namun mereka tetap jauh dari kebenaran sehingga sewenangnya mempertikaikan kebenaran Islam, maka tinggalkanlah mereka, sesungguhnya nasib mereka telah ditentukan oleh Allah. *Duhai pendakwah, teruskan dakwah walau penuh mehnah, natijahnya nanti ‘menerima atau menolak’ bukan lagi urusan pendakwah, bahkan itu urusan Allah*.

3. *Bertaubat, perbanyakkan amalan kebaikan dan sentiasalah memohon keampunan Allah*, kerana apabila datangnya Hari Kiamat, akan tertutup pintu taubat; hanya amalan-amalan soleh yang telah dilakukan sebelum ini yang akan menjadi bekalan untuk dibawa bertemu Allah. Moga kita tidak akan menyesal saat perhitungan dibuat kelak.

? *Rujukan*:
Tafsir Ibnu Katsir
Tafsir Fi Zilalil Quran

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
_19 April 2019_ / _13 Syaaban 1440H_