Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al-Quran (Surah Luqman: Siri 9)

1578
SHARE

??Tadabbur Al Quran ??
Surah Luqman: Siri 9

Ayat: 20 & 21: Limpahan Nikmat Buat Manusia dan Seruan Meninggalkan Hujah yang Batil

? Firman Allah serta terjemahannya:

أَلَمۡ تَرَوۡاْ أَنَّ ٱللَّهَ سَخَّرَ لَكُم مَّا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِي ٱلۡأَرۡضِ وَأَسۡبَغَ عَلَيۡكُمۡ نِعَمَهُۥ ظَٰهِرَةٗ وَبَاطِنَةٗۗ وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُجَٰدِلُ فِي ٱللَّهِ بِغَيۡرِ عِلۡمٖ وَلَا هُدٗى وَلَا كِتَٰبٖ مُّنِيرٖ (٢٠)

Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran.

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُواْ بَلۡ نَتَّبِعُ مَا وَجَدۡنَا عَلَيۡهِ ءَابَآءَنَآۚ أَوَلَوۡ كَانَ ٱلشَّيۡطَٰنُ يَدۡعُوهُمۡ إِلَىٰ عَذَابِ ٱلسَّعِيرِ (٢١)

Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): “Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab:” (Tidak), bahkan Kami hanya menurut apa yang Kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah mereka (menurut datuk neneknya) sekalipun Syaitan mengajak mereka itu (melakukan perbuatan yang menjerumuskan mereka) ke dalam azab api neraka yang marak menjulang?

? Tafsir ringkas:

1. Setelah menyatakan wasiat-wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya, dalam ayat 20 Allah SWT telah menyebut kepelbagaian nikmatNya kepada manusia. Allah telah menundukkan segala apa yang ada di langit serta di bumi dan mendatangkan pelbagai manfaat kepada manusia.

2. Lafaz نعمه menunjukkan kepelbagaian nikmat Allah yang tidak terhingga banyaknya sebagaimana telah disebut oleh Allah dalam surah Ibrahim, ayat 34 yang bermaksud; “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya”.

3. Sebahagian pendapat mengikut qiraat Ibnu Abbas menyatakan penyempurnaan nikmat oleh Allah itu adalah Islam. Rasulullah SAW bersabda kepada lbnu Abbas RA yang telah bertanya tentang ayat ini, “ظهرة bererti Islam dan kejadianmu yang baik sedangkan باطنة ertinya amal burukmu yang Dia tutupi untukmu.”

4. Meskipun telah terbukti ketuhanan dan keesaan Allah melalui penciptaan dan nikmat kurniaan Allah terbentang di depan mata, ternyata tidak semua manusia beriman dan masih ada yang membantah tentang tauhid dan sifat-sifat Allah yang lain. Mereka membantah tanpa bersandarkan dalil, pedoman atau hujah yang benar daripada seorang rasul mahupun kitab yang terang dan jelas yang menerangi jalan kebenaran.

5. Dalam ayat ke 21 pula dinyatakan cercaan terhadap orang orang musyrik atas kesyirikan mereka padahal mereka telah menyaksikan bukti-bukti petunjuk tentang tauhid. Tatkala Allah menyeru agar manusia mengikuti ajaran dan segala syari’at yang suci murni, sebahagian orang kafir bertaqlid buta dengan mengikut keyakinan dan agama batil para nenek moyang mereka. Padahal apa yang mereka ikut itu adalah godaan syaitan yang menjerumuskan mereka ke dalam neraka.

? Pengajaran:

1. Kesempurnaan nikmat Allah atas seseorang Muslim adalah apabila Dia memasukkannya ke dalam syurga. Maka kita wajib bersyukur dengan nikmat Islam yang Allah berikan kepada kita.

2. Taqlid ialah mengambil sesuatu perkataan tanpa mengetahui dalil. Kita dilarang sama sekali bertaqlid buta terutamanya dalam bab aqidah. Oleh itu, tuntutlah ilmu fardhu ain ini agar kepercayaan yang dibina adalah atas dasar yang benar dan menghasilkan thabat dan kekuatan iman dalam jiwa.

3. Berhati-hati dalam setiap perkara agar kita tidak termakan bisikan halus syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia.

4. Allah menyediakan kita dengan Al Quran dan mengutuskan rasul bagi memimpin kehidupan manusia. Maka sentiasalah berpegang pada ajaran Al Quran dan Sunnah Nabi sebagai pedoman agar kita sentiasa mendapat petunjuk yang benar, jelas dan nyata.

? Rujukan:
1. Tafsir Al Qurthubi; Jilid 14
2. Tafsir Al Munir; Jilid 11

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
16 Oktober 2020 / 28 Safar 1442