Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Surah Luqman: Siri 5

2073
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Luqman: Siri 5

Ayat 12 -13 : Wasiat Luqman Al-Hakim Dan Larangan Mensyirikkan Allah SWT

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَلَقَدۡ ءَاتَیۡنَا لُقۡمَـٰنَ ٱلۡحِكۡمَةَ أَنِ ٱشۡكُرۡ لِلَّهِۚ وَمَن یَشۡكُرۡ فَإِنَّمَا یَشۡكُرُ لِنَفۡسِهِۦۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِیٌّ حَمِیدࣱ (١٢)

Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmah kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

وَإِذۡ قَالَ لُقۡمَـٰنُ لِٱبۡنِهِۦ وَهُوَ یَعِظُهُۥ یَـٰبُنَیَّ لَا تُشۡرِكۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّ ٱلشِّرۡكَ لَظُلۡمٌ عَظِیمࣱ (١٣)

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.

? Tafsir ringkas:

1. Setelah menjelaskan tanda-tanda kebesaran-Nya dalam ayat-ayat sebelum ini, dalam rangkaian ayat ini pula Allah SWT membawakan sebuah kisah seorang lelaki bernama Luqman daripada umat terdahulu sebagai pedoman kepada umat akhir zaman.

2. Allah SWT telah mengurniakan hikmah kepada Luqman iaitu pemahaman yang mendalam terhadap agama, ilmu yang luas, serta pengucapan yang bagus dan kebenaran dalam perkataan. Beliau telah diperintahkan oleh Allah SWT agar sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang diberikan kepadanya. Menurut Ibnu Kathir, nikmat yang diberikan kepada Luqman berupa kurniaan khusus yang tidak dianugerahkan kepada orang lain pada ketika itu.

3. Sesungguhnya orang yang bersyukur akan mendapat manfaat untuk dirinya. Mereka akan menerima pahala dan kebaikan serta ditambahkan lagi nikmat oleh Allah SWT. Sepertimana firman-Nya dalam surah Ar-Rum ayat 44:

“Dan sesiapa yang beramal soleh (yang membuktikan imannya), maka merekalah orang-orang yang membuat persiapan untuk kesenangan diri mereka masing-masing;”

Manakala bagi mereka yang tidak mahu bersyukur, mereka tidak akan pernah memberi ancaman dan kesan kepada Allah SWT di atas kekufuran mereka. Hal ini kerana sifat Allah SWT yang Maha Kaya tidak memerlukan pergantungan terhadap hamba-Nya.

4. Kemudian, Luqman menyampaikan hikmah yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya dalam bentuk nasihat kepada anak kesayangannya. Nasihat pertama yang disampaikan ialah hendaklah menyembah hanya Allah SWT, Tuhan Yang Esa dan tidak mempersekutukan-Nya dengan apa-apa sekalipun. Beliau telah memberi peringatan bahawa menyekutukan Allah SWT merupakan suatu kezaliman yang sangat besar.

? Pengajaran

1. Hikmah merupakan kebijaksanaan dan kefahaman yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka yang dikehendaki-Nya. Maka tidak wajar seseorang menyandarkan keilmuan yang dimilikinya ke atas usaha dirinya semata. Marilah kita sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan kefahaman yang mendalam tentang agama dan dapat diamalkan sebaiknya di dalam kehidupan seharian. Amalkan doa berikut setiap hari:

اللَّهُمَّ آتِني الحِكْمَةَ الَّتي مَنْ أُوتِيهَا فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا

“Ya Allah, kurniakanlah aku hikmah yang mana sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak.”

2. Setiap insan mestilah sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang diperolehinya dan sentiasa merendahkan diri di atas setiap kelebihan yang ada pada dirinya. Kita perlu sedar bahawa setiap kebaikan yang dinikmati adalah kurniaan daripada Allah SWT. Terjemahkanlah rasa kesyukuran kita dalam bentuk ketaatan kepada hukum-hukum Allah SWT.

3. Adalah menjadi tanggungjawab seorang ayah untuk menyampaikan ilmu agama kepada ahli keluarganya, bukan semata-mata memberi makan, minum dan tempat tinggal sahaja. Perkara pertama yang perlu ditekankan ialah berkait dengan ketulenan akidah Islamiah. Janganlah sehingga kita melakukan perkara syirik di dalam rumah tangga tanpa kita sedari. Sesungguhnya syirik itu merupakan dosa yang paling besar.

? Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Katsir
2. Tafsir at-Tabari

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
18 September 2020 / 30 Muharram 1441