Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al-Quran (Surah Luqman: Siri 11)

1020
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Luqman: Siri 11

Ayat: 25-26: Pertentangan Antara Kata-Kata dan Perbuatan Orang Kafir

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ ۚ قُلِ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian – tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).

لِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْغَنِىُّ ٱلْحَمِيدُ

Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi; sesungguhnya Allah Dia lah jua yang Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

? Tafsir ringkas:

1. Ayat-ayat sebelum ini menyatakan tentang balasan bagi orang beriman dan orang kafir. Dalam ayat 25, Allah SWT mengiktiraf bahawa Musyrikin Mekah memang mengakui kewujudan Allah SWT. Orang-orang yang menentang aqidah tauhid dengan kepercayaan syirik dan menentang dakwah Rasulullah SAW ini tidak berdaya menipu fitrah mereka apabila dikemukakan dalil kewujudan langit dan bumi ini. Lantaran itu apabila ditanyakan, “Siapa yang mencipta langit dan bumi?”, mereka tidak teragak-agak menjawab, “Allah”.

2. Oleh itu, Allah SWT menyuruh Rasulullah SAW menyambut jawapan mereka dengan ucapan, “Alhamdulillah” kerana jelasnya kebenaran itu dalam fitrah mereka. Kemudian diiringi dengan kenyataan, “Bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui” menunjukkan mereka suka berdebat dan jahil terhadap logik fitrah mereka dan tidak mengerti bahawa kewujudan alam ini membuktikan kewujudan Allah SWT.

3. Sesuai dengan pengakuan fitrah bahawa langit dan bumi ini adalah diciptakan Allah SWT, maka ayat 26 menjelaskan pula bahawa Allah SWT memiliki secara mutlak segala kejadian yang ada di alam ini. Tidaklah Allah SWT menjadikan alam ini dan memberikan pula tugas mengurusnya kepada para Nabi, wali dan malaikat semata-mata. Tetapi Allah SWT jugalah yang mengurusnya. Maka Dia menekankan bahawa segala pujian yang khusus itu hanyalah layak untukNya sahaja.

? Pengajaran

1. Kita hendaklah sentiasa mengakui dalam hati, lisan dan perbuatan akan kewujudan Allah SWT yang menciptakan alam ini. Tanpa pengakuan salah satu darinya, akan menyebabkan iman seorang muslim itu tidak sempurna.

2. Kita perlu melazimi pujian khusus kepada Allah SWT, iaitu dengan mengucapkan kalimah “Alhamdulillah”. Kebanyakan kita tidak sedar akan kepentingan kalimah Alhamdulillah. Oleh kerana itu, kita mudah memberikan pujian kepada selain daripada Allah secara berlebihan.

3. Kita hendaklah sentiasa menyedari bahawa segala kekayaan dan kesenangan yang dinikmati di dunia ini tiada nilainya di sisi Allah SWT kerana Dia Maha Kaya. Infaqkanlah harta ke jalan Allah SWT, agar kita kehidupan diberkatiNya.

? Rujukan:
Tafsir Al-Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
30 Oktober 2020 / 13 Rabiul Awal 1442