Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al-Quran (Surah Luqman: Siri 10)

1352
SHARE

??Tadabbur Al Quran ??
Surah Luqman: Siri 10

Ayat: 22-24 : Pengakhiran Buat Orang yang Melakukan Kebaikan dan Kejahatan

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَمَن يُسلِم وَجهَهُ إِلَى اللهِ وَهُوَ مُحسِنٌ فَقَدِ استَمسَكَ بِالعُروَةِ الوُثقىٰ ۗ وَإِلَى اللهِ عٰقِبَةُ الأُمورِ (٢٢)

Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.

وَمَن كَفَرَ فَلا يَحزُنكَ كُفرُهُ ۚ إِلَينا مَرجِعُهُم فَنُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا ۚ إِنَّ اللهَ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ (٢٣)

Dan sesiapa yang kufur ingkar, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita tentang kekufurannya itu; kepada Kamilah tempat kembalinya mereka, kemudian Kami akan memberitahu kepada mereka tentang apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

نُمَتِّعُهُم قَليلًا ثُمَّ نَضطَرُّهُم إِلىٰ عَذابٍ غَليظٍ (٢٤)

Kami akan berikan mereka menikmati kesenangan bagi sementara (di dunia), kemudian Kami akan memaksa mereka (dengan menyeretnya) ke dalam azab yang amat berat.

? Tafsir ringkas:

1. Setelah Allah SWT menceritakan perihal orang yang memperdebat dan ingkar kepadaNya tanpa ilmu, maka ayat 22 ini menerangkan tentang situasi mereka yang sebaliknya iaitu mereka yang berserah diri kepada Allah SWT. Mereka sentiasa ikhlas beramal dan mengikut syariat, dan mereka akan mendapat janji Allah iaitu mereka tidak akan diazab di akhirat nanti.

2. Dalam ayat 23, Allah SWT menyatakan kepada Nabi Muhammad SAW agar tidak berasa sedih hati atas kekafiran mereka kerana orang yang kufur ingkar kepada Allah SWT akan mendapat balasan yang setimpal di akhirat kelak. Ayat ini juga menyebut tentang ilmu Allah SWT yang amat halus dan luas meliputi yang zahir dan batin, kerana kekufuran seseorang itu boleh berlaku secara jelas ataupun hanya di dalam hati.

3. Seterusnya Allah SWT menyatakan bahawa kesenangan dan kekayaan yang dinikmati oleh orang kafir di dunia hanyalah sebagai istidraj buat mereka, sehingga menyebabkan mereka semakin ingkar dan jauh dari Allah SWT. Kesenangan yang sedikit dan sementara ini tidak memberi sebarang keuntungan buat mereka kerana Allah SWT bakal mengheret mereka ke dalam azab dan siksa yang sangat dahsyat.

? Pengajaran

1. Tetapkan keyakinan terhadap balasan Allah SWT di akhirat kelak agar kita sentiasa menjaga ibadah dan tidak menjadi orang yang kufur. Berdoalah kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh agar ditetapkan iman hingga akhir hayat. Amalkan doa berikut:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”

2. Teruskan iltizam dan bersemangat dalam melakukan seruan dakwah kepada manusia dan tidak mudah berasa sedih jika dakwah kita ditolak. Tanggungjawab asas seorang beriman adalah menyampaikan, dan Allah SWT sajalah yang layak memberi petunjuk dan hidayah kepada seseorang.

3. Berwaspada dan sentiasalah bermuhasabah atas kesenangan dan kekayaan yang dinikmati kini. Pastikan nikmat-nikmat itu digunakan untuk jalan ibadah dan dakwah agar ia tidak menjadi istidraj buat diri. Sesungguhnya azab Allah SWT tiada siapa pun yang mampu menghadapinya nanti.

? Rujukan:
1. Tafsir Ibn Kathir
2. Tafsir Fi Zhilal Lil Quran

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
23 Oktober 2020 / 6 Rabiul Awal 1442