Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Surah As-Saff: Siri 5)

1887
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah As-Saff: Siri 5

Ayat: 6 : Peringatan Tentang Nabi Isa AS Bersama Bani Israel

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَإِذۡ قَالَ عِيسَى ٱبۡنُ مَرۡيَمَ يَٰبَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ إِنِّي رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيۡكُم مُّصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيَّ مِنَ ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَمُبَشِّرَۢا بِرَسُولٖ يَأۡتِي مِنۢ بَعۡدِي ٱسۡمُهُۥٓ أَحۡمَدُۖ فَلَمَّا جَآءَهُم بِٱلۡبَيِّنَٰتِ قَالُواْ هَٰذَا سِحۡرٞ مُّبِينٞ (٦)

Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibni Maryam berkata: “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad”. Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir yang jelas nyata!”

? Tafsir ringkas:

1. Pada ayat sebelum ini, telah disebut tentang Rasul utama bagi Bani Israel iaitu Nabi Musa AS. Manakala pada ayat keenam ini pula adalah berkaitan Nabi Isa AS yang juga merupakan utusan Allah; baginda bukan tuhan dan bukan juga anak tuhan. Baginda merupakan nabi terakhir daripada kalangan Bani Israel. Ayat ini menceritakan tentang khabar gembira yang disampaikan oleh Nabi Isa AS kepada kaumnya tentang kedatangan rasul sesudahnya yang bernama Ahmad.

2. Nabi Isa AS tinggal di tengah-tengah Bani Israel dan menyampaikan khabar gembira tentang kedatangan Nabi Muhammad SAW (Ahmad). Ahmad adalah salah satu daripada nama Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang disebut dalam hadith yang bermaksud:
” Aku ada beberapa nama yang dikurniakan oleh Allah SWT. Akulah Muhammad. Akulah Ahmad. Akulah Al-Mahi, yang mana dengannya Allah menghapuskan kekufuran. Akulah Al-Hasyir, yang mengumpulkan manusia di bawah tapak kakiku (yakni semua manusia diseru supaya mengikutiku). Akulah Al-Aqib (yang tidak ada lagi nabi selepas daripadaku).

3. Walau bagaimanapun, apabila baginda membawakan keterangan dan dalil yang nyata kepada kaumnya, mereka tidak mahu menerimanya lalu menuduh baginda sebagai seorang ahli sihir dan apa yang baginda bawa itu adalah sihir semata-mata.

? Pengajaran

1. Yakinilah kebenaran Islam dan sebarkanlah ajaran yang telah disampaikan melalui para rasul yang bersilih ganti mengikut umat, sehinggalah kepada Rasul terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW yang diutuskan kepada seluruh umat di akhir zaman.

2. Ikutilah ajaran Kitab Allah yang disampaikan oleh para rasul yang memandu seluruh aspek kehidupan meliputi aqidah, syariat serta akhlak.

3. Berimanlah bahawa Al-Quran adalah mukjizat yang paling besar yang Allah kurniakan kepada Rasulullah SAW yang tidak ada sebarang keraguan padanya dan ia amat bertentangan dengan sihir seperti yang dakwa oleh Bani Israel dan juga kaum musyrikin.

4. Berpegang teguhlah dengan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW untuk memastikan kita sentiasa selamat di dunia dan akhirat.

5. Jejakilah sunnah perjuangan para rasul yang tetap istiqamah menyampaikan dakwah dan menyeru ke arah kebenaran walaupun dikecam dengan pelbagai penghinaan, tuduhan dan fitnah. Janganlah berputus asa kerana kecaman daripada musuh-musuh Islam itu membuktikan kebenaran risalah dan dakwah yang disampaikan.

? Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Katsir Jilid 9
2. Tafsir Fii Dzilal Quran

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
29 Januari 2021 / 16 Jamadil Akhir 1442 H

#bacadansebar
#siritadabbursurahassaff