Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Surah Al-Waqi’ah : Siri 27)

78 views
SHARE

📓📓 Tadabbur Al Quran 📓📓
Surah Al-Waqi’ah: Siri 27

Ayat: 88-89 : Gambaran Kehidupan Selepas Kematian Yang Indah.

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

فَأَمَّا إِنْ كَانَ مِنَ الْمُقَرَّبِينَ – ٨٨

“Adapun jika dia (orang yang mati) termasuk orang yang didekatkan (kepada Allah)”

فَرَوْحٌ وَرَيْحَانٌ وَجَنَّةُ نَعِيمٍ – ٨٩

“Maka dia memperoleh ketenteraman dan rezeki serta syurga kenikmatan.”

📖 Tafsir ringkas:

1. Setelah digambarkan kekuasaan Allah yang mutlak dalam memiliki nyawa manusia dan mencabutNya daripada jasad maka pada ayat ini Allah menyebutkan pula keadaan orang-orang yang menghadapi sakaratul maut di dunia berdasarkan tiga golongan yang telah diceritakan di awal surah.

2. Jika mayat ini adalah daripada golongan al-Muqarrabun maka mereka akan merasakan ketenteraman (rauhun) dan kesenangan (raihan) yang penuh rahmah. Seterusnya mereka ditempatkan di tempat yang tinggi, mereka memiliki tempat peristirahatan, kebahagiaan dan kemenangan serta rezeki yang baik dan syurga yang luas dan penuh kenikmatan, yang mereka dapat bersenang-senang di dalamnya di sisi Tuhan mereka.

3. Mereka itulah orang-orang yang ikhlas yang berlumba-lumba dalam kebaikan, yang didekatkan kepada Allah kerana telah menunaikan amalan yang wajib dan yang sunat, serta meninggalkan hal-hal yang diharamkan dan yang dimakruhkan.

4. Para malaikat menyampaikan berita gembira ini kepada mereka di saat mereka sedang menghadapi kematian. Seperti dalam sebuah hadis, “Sesungguhnya para malaikat rahmat mengatakan, “Wahai ruh yang baik yang ada di dalam tubuh yang baik yang kamu huni, keluarlah kamu menuju kepada ketenteraman, kesenangan, dan menemui Tuhan yang tidak murka.”

5. Rasulullah SAW juga pernah bersabda: “Barang siapa yang mencintai (hari) perjumpaannya dengan Allah, maka Allah suka berjumpa dengannya; dan barang siapa yang benci akan perjumpaannya dengan Allah, maka Allah benci pula berjumpa dengannya.”

6. Gambaran nikmat yang diperolehi golongan muqarrobin telah pun kita lalui di awal surah ini. Di saat ruh berada di halkum, ia melihat nikmat ini sedang menunggunya. Antaranya, kesenangan rezeki yang mewah dan syurga yang penuh dengan nikmat.

7. Ayat tersebut sendiri membayangkan kenikmatan yang murni dan mewah, serta menyorotkan bayang-bayang kerehatan yang manis, nikmat yang lembut dan kemesraan yang luhur.

🎀 Pengajaran

1. Kematian adalah suatu kepastian yang tidak dapat disangkal lagi. Dalam bulan Ramadhan ini sendiri, hampir setiap hari kita mendengar berita kematian yang menyentap hati kita. Sedarlah, bahawa kita juga akan mengalami suatu peristiwa terbesar itu iaitu saat ruh berpisah dari jasad kita. Justeru, setiap daripada kita perlu berusaha dan merancang dengan teliti demi mendapatkan husnul khatimah (kematian yang terbaik).

2. Orang yang meninggal dunia terdiri daripada dua golongan iaitu golongan yang bahagia dan golongan yang celaka. Pilihlah untuk menjadi golongan yang bahagia, yang didekatkan kepada Allah, dengan cara menjaga amalan wajib dan memperbanyakkan amalan sunat dalam kehidupan kita.

3. Syurga Allah itu mudah disebut. Setiap orang menyebut dan bercita-cita inginkan syurga, namun ketahuilah laluannya itu penuh mujahadah. Justeru, kuatkan mujahadah dan pengorbanan kita dalam kehidupan ini untuk kita sampai kepada Allah di akhirat sana.

4. Ketenteraman, rezeki yang baik, serta sebaik-baik tempat kembali iaitu syurga kenikmatan adalah dambaan setiap insan yang sedar dirinya bertuhan. Allah tidak melarang kita mencari nikmat dunia (yang halal), tapi jangan sesekali melupakan akhirat kerana nikmat di akhirat itu lebih lagi hebatnya beribu kali ganda dari nikmat dunia. Janganlah tertipu dengan nikmat dunia yang sementara dan menipu ini.

5. Antara jalan menuju maqam para al-Muqarrabin carilah contoh tauladan yang hidup di sekeliling kita. Dampingi orang-orang yang soleh, ulama yang beramal, sahabat-sahabat yang mulia akhlaknya yang apabila kita bertemu dengan mereka, kehadiran mereka mengingatkan kita kepada Allah SWT.

📚 Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Tafsir Fi Zhilal, Sayyid Qutb
Tafsir Al-Wajiz / Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
1 Jun 2019 / 27 Ramadhan 1440