Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Surah Al-Waqi’ah: Siri 26)

1269
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Waqi’ah: Siri 26

Ayat: 86-87 : Allah Mencabar Golongan Berideologi Batil

? Firman Allah serta terjemahannya:

فَلَوۡلَاۤ إِن كُنتُمۡ غَیۡرَ مَدِینِینَ – ٨٦

Maka bukankah elok kalau kamu orang-orang yang tidak dikuasai (dan tidak tunduk kepada kekuasaan Kami),

تَرۡجِعُونَهَاۤ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِینَ – ٨٧

Kamu kembalikan roh itu (kepada keadaan sebelumnya) jika betul kamu orang-orang yang benar?

? Tafsir ringkas:

1. Pada ayat 86 Allah SWT menyindir golongan musyrikin yang tidak mempercayai bahawa amalan mereka akan dihisab, menolak kewujudan hari kebangkitan serta balasan terhadap amalan perbuatan mereka. Sedangkan nyawa mereka sendiripun di tangan Allah dan mereka tak mampu langsung menggengam ruh mereka sendiri.

2. Seterusnya ayat 87 Allah mencabar mereka sekali lagi supaya menghalang kematian mereka dengan mengembalikan ruh yang berada di kerongkong mereka (serta bakal dicabut) ke tempat asal pada jasad mereka. Ini adalah sebagai bukti jika mereka di pihak yang benar.

3. Allah menempelak mereka yang tidak mempercayai adanya hari kebangkitan dengan meminta mereka menafikan kuasa Allah mencipta kematian.

4. Golongan ini dicabar jika benar mereka tidak ada pencipta, tentulah mereka sendiri adalah pencipta. Oleh itu, mengapa mereka tidak mengembalikan ruh mereka ke jasad supaya mereka tidak akan menghadapi kematian.

? Pengajaran

1. Tanyalah dalam diri, kenapa kita masih lagi tidak mahu tunduk dan beriman dengan Hari Akhirat dengan sebenar-benarnya. Dibimbangi kita tergolong dalam kelompok orang yang sombong dan keras hati. Berapa banyak ayat-ayat di dalam helaian Al-Quran yang menegaskan tentang kepastian berlakunya Qiamat dan kebangkitan. Maka lembutkan hati dengan memperbanyakkan renungan terhadap ayat-ayat tentang Hari akhirat.

2. Tiada manusia yang berkuasa menandingi Allah SWT kerana ketika saat kematian, mereka tidak dapat menolak kuasa Allah dengan mengembalikan ruh mereka ke jasad. Hanya yang perlu sorang hamba lakukan ialah dengan merancang sebaik-baiknya untuk menghadapi hari kematian yang sedang bergilir antara manusia.

3. Hidup ini adalah pilihan. Manusia hanya diberi dua pilihan sama ada beriman dengan ajaran Rasul atau jika membantah maka mereka akan memperoleh azab di akhirat. Kitalah sendiri yang menentukan mana yang terbaik untuk kita dengan membuat persiapan rapi sepanjang hidup ini buat bekalan di negeri abadi.

4. Hari Kebangkitan dapat diterima akal manusia. Semua orang mengakui bahawa manusia dicipta daripada tiada kepada ada. Justeru tidak dapat dinafikan kuasa Allah yang mudah sahaja menghidupkan semula manusia setelah kematian.

5. Beriman kepada Hari Kebangkitan sepatutnya memberi motivasi kepada jiwa mukmin untuk sentiasa bersedia dengan yang melakukan ibadah yang terbaik di samping meninggalkan perkara yang tercela.

6. Apabila ditimpa ujian dan musibah, janganlah merasa jemu dan kecewa dengan kehidupan yang dilalui di dunia ini. Hakikatnya kehidupan Akhirat adalah kehidupan yang sempurna kerana ia kehidupan baru yang menjamin tertegaknya keadilan hasil pilihan perbuatan masing-masing di dunia.

7. Kita hendaklah menjadi manusia yang tunduk patuh kepada peraturan Allah di dunia dan membersihkan diri daripada ideologi batil, supaya kematian kita dalam keadaan diredhai Allah dan dipermudahkan segala urusan di Akhirat nanti.

8. Jangan biarkan sehari dalam hidup ini tanpa kita berdoa dan meminta diringankan kesakitan saat roh dicabut daripada jasad kita serta meminta kematian yang baik (husnul khatimah).

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir
Tafsir Al Munir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
31 Mei 2019 / 26 Ramadhan 1440