Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Surah Al-Waqi’ah : Siri 25)

2936
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Waqi’ah: Siri 25

Ayat: 83-85 : Cercaan Terhadap Golongan yang Berideologi Batil

? Firman Allah serta terjemahannya:

فَلَوْلَا إِذَا بَلَغَتِ الْحُلْقُومَ – ٨٣

Maka mengapa ketika nyawa sampai di kerongkongan,

وَأَنْتُمْ حِينَئِذٍ تَنْظُرُون -٨٤

Padahal kamu ketika itu melihat,

وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْكُمْ وَلَٰكِنْ لَا تُبْصِرُون – ٨٥

Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu. Tetapi kamu tidak melihat.

? Tafsir ringkas:

1. Setelah dipaparkan pendustaan dan peremehan terhadap Al-Quran oleh golongan musyrikin iaitu orang yang berideologi batil, maka pada ayat ini Allah SWT memberi peringatan dengan ancaman kematian, gambaran seksaan dan kesakitan menghadapi saat getir kematian atau disebut sakaratul maut. Maksud sakaratul maut adalah kedahsyatan, tekanan, dan himpitan kuat kematian yang tidak tertanggung oleh manusia. Antara dalil Al-Quran yang menjelaskan kadar kesakitan menghadapi sakaratul maut adalah:

كَلآ إِذَا بَلَغَتِ التَّرَاقِيَ {٢٦} وَقِيلَ مَنْ رَاقٍ {٢٧} وَظَنَّ أَنَّهُ الْفِرَاقُ {٢٨} وَالْتَفَّتِ السَّاقُ بِالسَّاقِ {٢٩} إِلَى رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ الْمَسَاقُ {٣٠}

“Sekali-kali jangan. Apabila nafas (seseorang) telah (mendesak) sampai kerongkongan. Dan dikatakan (kepadanya): “Siapakah yang dapat menyembuhkan”. Dan dia yakin bahwa sesungguhnya itulah waktu perpisahan. Dan bertaut betis (kiri) dengan betis (kanan). Dan kepada Tuhanmu lah pada hari itu kamu dihalau”. [Al Qiyamah: 26-30]

2. Ibnu Abi Ad-Dunya Rahimahullah meriwayatkan dari Syaddad bin Aus Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata: “Kematian adalah kengerian yang paling dahsyat di dunia dan akhirat bagi orang yang beriman. Kematian lebih menyakitkan dari goresan gergaji, sayatan gunting, panasnya air mendidih di bejana. Seandainya ada mayat yang dibangkitkan dan menceritakan kepada penduduk dunia tentang sakitnya kematian, nescaya penghuni dunia tidak akan nyaman dengan hidupnya dan tidak nyenyak dalam tidurnya”.

3. Kemudian Allah mencerca mereka bahawa mereka tidak mampu sedikit pun untuk menghalang daripada terjadinya kematian walaupun mereka merasakan diri mereka berkuasa dan merasa hebat sangat, sehingga menolak hukum Allah dalam Qur’an. Mereka tidak mungkin dapat menjawab cabaran Allah itu, walaupun mereka menyaksikan penyeksaan dan kesakitan saat kematian yang dialami oleh sahabat mereka bahkan mereka tidak mampu pun memberikan keringanan atas kesakitan yang dialami.

4. Cercaan dilanjutkan lagi atas kesombongan mereka dengan menyatakan bahawa Allah SWT benar-benar lebih tahu keadaan orang yang sedang sakaratul maut daripada mereka, sedangkan mereka tidak mampu melihat atau tahu tentang apapun yang sedang mereka alami.

5. Selanjutnya Allah menegaskan bahawa Allah lah dengan ilmu dan kuasa-Nya beserta para malaikat-Nya yang menggenggam ruh-ruh yang dekat dengan mereka, akan tetapi kalian tidak dapat melihatnya.

? Pengajaran

1. Kita janganlah syirik dengan Allah dan sombong dalam kehidupan ini kerana kelak kita akan mati juga dan saat kematian itu amat menyakitkan.

3. Kita hanyalah makhluk ciptaan Allah yang lemah maka kita perlu sentiasa insaf dan merendah diri kerana segalanya bergantung kepada ketentuan Allah.

4. Kita perlu berpegang dengan konsep “khauf wa raja'” iaitu takut akan siksaan Allah tapi tetap mengharapkan pengampunan dan rahmatNya serta sentiasa berdoa agar dimatikan dalam keadaan yang baik dan beriman kepadaNya.

5. Adakalanya Allah memberikan kesakitan yang hebat kepada orang beriman di saat kematiannya sebagai penghapusan dosa.

6. Kita diajar untuk melihat segalanya dengan pandangan positif kerana Allah akan menilai berdasarkan perspektif kita kerana tindakan dan amalan kita pun berdasarkan dari perspektif kita juga.

7. Adakalanya Allah permudahkan urusan kematian seseorang di dunia kerana Allah hendak memberatkannya dengan siksaan di akhirat.

8. Sentiasalah berdoa kepada Allah agar kita tidak mati mengejut seperti yang kerap berlaku di akhir zaman ini kerana dikhuatiri kita belum bersedia dan berada dalam keadaan lalai.

? Rujukan:

Tafsir Al-Wajiz / Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
30 Mei 2019 / 25 Ramadhan 1440