Home Artikel PAS Sabah

PAS bantu ringankan beban fakir miskin.

909
SHARE

Oleh : Muhammad Salman Darwis.
30 Mei 2019.

SANDAKAN : PAS Sandakan melalui Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan telah melaksanakan sumbangan barangan dapur dan bantuan kewangan kepada fakir miskin di sekitar daerah ini.

Program yang diadakan hari ini telah melibatkan beberapa buah keluarga asnaf yang tinggal di sekitar Taman Mesra, Kampung Batu 2, Kampung Sim Sim, Batu 1½ dan beberapa lokasi lain.

Penerima sumbangan rata-ratanya tinggal serba kekurangan dengan keadaan rumah yang tidak sempurna dan pendapatan keluarga yang tidak stabil.

Menurut Yang Dipertua PAS Sandakan, Sahar Abdul Majid, program ini merupakan program tahunan mereka bagi mendekati golongan sasar yang kurang terbela seperti fakir miskin ini.

Katanya, bantuan yang diberikan sekurang-kurangnya dapat membantu golongan asnaf ini menghadapi bulan Ramadan yang sedang dilalui.

Sahar turut merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang turut menyumbang bagi menjayakan program ini.

Beliau mengharapkan agar lebih ramai pihak tampil membantu golongan ini lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang menggalakkan penganut Islam menghulurkan sedekah.