Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur al Quran Surah al Waqiah Siri 15

1070
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Waqi’ah: Siri 15

Ayat: 49-50 : Penegasan daripada Allah Buat Golongan yang Menolak Hari Kebangkitan

? Firman Allah serta terjemahannya:

قُلْ إِنَّ الْأوَّلِينَ وَالْآخِرِينَ – ٤٩

Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya orang-orang yang telah lalu dan orang-orang yang terkemudian.

لَمَجْمُوعُونَ إِلَی مِيقَاتِ يَوْمٍ مَّعْلُومٍ – ٥٠

“Tetap akan dihimpunkan pada masa yang ditentukan – pada hari kiamat yang termaklum.

? Tafsir ringkas:

1. Bermulalah satu pusingan baru menerusi ayat ini yang membicarakan persoalan akidah dengan tujuan untuk menekankan perihal kebangkitan semula yang menjadi topik utama surah ini.

2. Dapat dilihat daripada ayat ini, bagaimana Allah mengajar Nabi Muhammad SAW dan umatnya yang beriman untuk menjawab kepada mereka yang tidak mempercayai hari kebangkitan.

3. Jelas sekali jawapan di atas keingkaran mereka; Ya! mereka pasti akan dibangkitkan, “Sesungguhnya orang-orang terdahulu dan yang datang kemudian, termasuk kalian, akan dikumpulkan pada waktu dan hari yang telah ditentukan dan tidak ditinggalkan seorang pun daripada mereka. Ini menerangkan bahawa bukan keturunan terdahulu sahaja yang akan dibangkitkan, namun keturunan yang akan datang pun akan dibangkitkan semuanya sekali.

4. Azab yang telah dipertontonkan di dunia sebelum kematian adalah sebagai peringatan besar buat manusia untuk menyakini bahawa di sana pasti adanya hari kebangkitan dan berakhirnya kesudahan kehidupan di dunia.

5. Semua makhluk akan dikumpulkan di satu tempat setelah berlakunya hari kebangkitan iaitu di Padang Mahsyar. Bermula daripada makhluk pertama yang hidup iaitu Nabi Adam AS dan makhluk yang terakhir sekali dimatikan ketika hari Qiamat nanti. Justeru tidak dapat dibayangkan seberapa banyaknya makhluk yang akan bersesak di Padang Mahsyar kelak.

6. Bilakah waktunya hari kebangkitan? Itu pastilah sudah ditetapkan oleh Allah Taala dan Hanya Dia lah yang mengetahui saat dan masanya yang tepat. Tidak ada sesiapa selain Allah yang Maha Mengetahui.

7. Hari itu tentu akan berlaku, tidak akan dipercepatkan dan tidak diperlambatkan, kerana semua sudah mengetahui hari itu hari apa, iaitu Yaumil Mahsyar hari dimana Allah SWT membalas amal yang mereka kerjakan selama di dunia.

? Pengajaran

1. Mengimani hari kebangkitan adalah salah satu aqidah dari aqidah Islam yang pokok kerana masalah kebangkitan di negeri akhirat merupakan landasan berdirinya aqidah setelah beriman dengan keesaan Allah SWT. Keimanan terhadap perkara ghaib ini tidak mampu dijangkau oleh akal dan tidak ada jalan untuk mengetahuinya kecuali dengan nas melalui wahyu. Oleh yang demikian sebagai orang mukmin yang memahami kehidupan akhirat yang bersumber dari Al-Quran seharusnya pola kehidupan mereka berbeza dengan orang kafir, pemikiran dan pegangan mereka berbeza dengan golongan materialis, liberalis, kapitalis, komunis, nasionalis, sosialis dan sebagainya, bahkan prinsip hidup dan perjuangan orang mukmin mestilah berlandas kepada keimanan kepada hari kebangkitan, bukannya berselindung di sebalik slogan- slogan duniawi yang hanya mementingkan kelangsungan hidup setakat di dunia ini sahaja.

2. Manusia hari ini semakin lalai dan leka dalam mengejar hal-hal keduniaan, perlumbaan demi perlumbaan berlaku dalam kehidupan manusia yang ingin menyaingi setiap temannya tanpa menghiraukan kerosakan hati dan jiwa yang terjadi. Akhirnya dunia berada di jiwa hingga sukarnya mereka untuk meninggalkan kediaman sementara ini. Justeru itu, manusia hari ini seharusnya diingatkan agar berfikir mengenainya dan didorong untuk sentiasa melakukan kebaikan dan amal ibadat serta ingat kepada kematian kerana dunia ini bukanlah kediaman kekal manusia. Ingatlah! akhirnya kita akan meninggalkan dunia ini dan tinggal di alam yang lain. Bagaimanakah alam yang bakal kita diami kelak? Tepuk dada tanyalah iman!.

3. Kita semua pasti akan dihimpun kembali kelak di Padang Mahsyar. Keadaan kita ketika itu bergantung pada perilaku kita di dunia. Kita patut merasa bimbang akan nasib kita bagaimana nanti dalam berhadapan lautan manusia. Sepatutnya keimanan kita melahirkan rasa takut ketika melakukan kemaksiatan dan kederhakaan kepada Allah SWT. Keimanan kita merasa senang dan bersemangat dalam melakukan ketaatan dengan mengharapkan pahalanya kelak di hari akhirat nanti.

4. Tadabbur ayat-ayat kebangkitan seharusnya menjadi hiburan dan pujukan bagi orang-orang yang beriman terhadap apa yang tidak mereka dapatkan di dunia dengan mengharapkan kenikmatan dan pahala di akhirat.

5. Orang yang berjiwa dai’e hendaklah sentiasa meyakinkan masyarakat tentang kebangkitan semula dan mengajak mereka berada di jalan yang lurus untuk sampai ke destinasi yang abadi.

? Rujukan:
Tafsir Fi Zhilal
Tafsir Ibnu Kathir
Tafsir Munir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
20 Mei 2019 / 15 Ramadhan 1440