Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Al Quran Surah Al-Mulk: Siri 8

776
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Mulk: Siri 8
Ayat: 10-11 : Penyesalan dan Pengakuan Ahli Neraka

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَقَالُواْ لَوۡ كُنَّا نَسۡمَعُ أَوۡ نَعۡقِلُ مَا كُنَّا فِيٓ أَصۡحَٰبِ ٱلسَّعِيرِ
Dan mereka berkata: “Sekiranya (dahulu) kami mendengar atau memikirkan (peringatan itu) tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan penghuni neraka yang menyala-nyala”.

فَٱعۡتَرَفُواْ بِذَنۢبِهِمۡ فَسُحۡقٗا لِّأَصۡحَٰبِ ٱلسَّعِيرِ
Maka mereka mengakui dosa mereka tetapi jauhlah (daripada rahmat Allah) bagi penghuni neraka yang menyala-nyala itu.

? Tafsir ringkas:

1. Pada ayat sebelumnya, orang kafir mula menyesali dosa-dosa mereka dengan mengakui bahawa mereka telah mendustakan, menafikan dan menolak seruan dakwah yang sampai kepada mereka. Rentetan itu, ayat ini menggambarkan penyesalan mereka semakin besar.

2. Orang kafir menyesali kedegilan diri mereka sendiri, yang dahulu semasa di dunia langsung tidak mahu mendengar risalah yang disampaikan, juga tidak mahu memikirkan nasihat yang disampaikan oleh para penyampai risalah. Namun, pengakuan dan penyesalan itu ternyata sia-sia kerana mereka telahpun menjadi penghuni neraka.

3. Tafsir Al Azhar menjelaskan bahawa dosa paling besar adalah kufur. Ada beberapa bentuk kekufuran, antaranya:
i) menafikan adanya Tuhan;
ii) percaya adanya Tuhan tetapi enggan mengakui ketuhanan;
iii) tidak mengiktiraf suruhan dan larangan Tuhan;
iv) menolak Rasul yang diutuskan dan risalah yang disampaikan.

4. Kalimah ‘سحقا’ pada hujung ayat bermaksud injak, injakan atau diinjak. Penghuni neraka bukan sahaja disiksa, malah mereka juga dihina sehina-hinanya.Begitulah azabnya neraka. Ayat ini menunjukkan betapa jauhnya penghuni neraka daripada rahmat dan keampunan Allah sehingga tiada peluang lagi untuk mereka menyelamatkan diri daripada azab neraka.

? Pengajaran:

1. Yakinilah bahawa akhirat adalah masa pembalasan. Hanya orang yang beriman dan tidak melakukan dosa syirik akan selamat manakala orang kafir kesudahannya adalah neraka walaupun mereka berbuat baik semasa di dunia. Maka, beriman dan beramallah dengan ajaran Islam yang disampaikan oleh Rasulullah SAW agar kita terselamat daripada siksaan neraka di akhirat kelak.

2. Awasilah dosa kufur dan syirik. Fahami dan amalkan ajaran Islam dengan sebenarnya agar kita tidak terjatuh dalam lubang kufur dan syirik.

3. Sebagai orang Islam, kita bertanggungjawab menyampaikan dan mengajak manusia kepada Islam. Kenapa kita perlu berdakwah? Ini kerana kita pun menerima Islam hasil daripada dakwah Nabi S.A.W. dan para ulama’. Oleh itu, berdakwahlah secara individu kepada saudara dan rakan di sekeliling kita, atau secara berkumpulan dengan menyertai badan/persatuan dakwah, atau dengan memilih kepemimpinan Islam untuk mentadbir negara.

? Rujukan:
Tafsir Al-Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
24 Januari 2020 / 28 Jamadil Awal 1441