Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Surah Al-Mulk: Siri 6

3670
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Mulk: Siri 6

Ayat: 8 : Isyarat Kekuasaan Allah pada penciptaan api neraka (2)

? Firman Allah serta terjemahannya:

تَكَادُ تَمَيَّزُ مِنَ الْغَيْظِ كُلَّمَا أُلْقِيَ فِيهَا فَوْجٌ سَأَلَهُمْ خَزَنَتُهَا أَلَمْ يَأْتِكُمْ نَذِيرٌ (٨)

(Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga Neraka itu kepada mereka: Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?)

? Tafsir ringkas:

1.Di dalam ayat sebelum ini, Allah SWT menggambarkan betapa ngerinya suasana dalam neraka yang penuh dengan hiruk pikuk jeritan suara orang-orang kafir sejurus mereka dihumban ke dalamnya.

2. Pada awal ayat ini pula Allah SWT menjelaskan tindak balas neraka terhadap golongan kufur ini dengan menggambarkan kemarahannya yang amat sangat terhadap kekufuran mereka. Perkataan تَمَيَّزُ menggambarkan seolah-olah neraka itu hampir pecah berkecai lantaran kemarahannya terhadap para penghuni neraka itu.

3. Ayat ini juga menjelaskan bahawa mereka yang masuk dalam neraka itu dalam kumpulan yang ramai. Dalam keadaan demikian, malaikat Zabaniyah mencela dan mencerca mereka dengan bertanya, “Tidak pernahkah datang kepada kamu seorang Rasul yang diutus Allah SWT yang memperingatkan kamu kepada azab hari kiamat yang menimpamu pada saat ini?” Tapi sayang sekali kerana mereka tidak mengendahkan seruan Rasul ketika di dunia.

4. Ayat ini jelas menunjukkan keadilan Allah SWT terhadap makhluk, iaitu Dia tidak akan mengazab seseorang melainkan setelah mengutus seorang Rasul kepadanya, seperti yang disebutkan di dalam firman-Nya:

وَما كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولًا
“dan Kami tidak mengazab sebelum Kami mengutus seorang Rasul.” (Al-Isra: 15)

? Pengajaran

1. Bagi memantapkan keimanan kita terhadap kewujudan azab neraka sebagaimana yang telah digambarkan dalam Al-Quran, kita hendaklah memikirkan keadaan neraka yang mengerikan itu, agar lahir perasaan takut kepada azab Allah SWT.

2. Neraka Jahannam adalah makhluk Allah yang hidup dan mempunyai roh, sentiasa bertasbih memuji Allah SWT serta bencikan kekufuran yang dilakukan oleh manusia. Jika neraka pun bersifat sedemikian, alangkah malangnya kita sebagai manusia yang tidak berasa apa-apa apabila melakukan kekufuran dan kemungkaran kepada Allah.

3. Apabila timbul keinginan untuk melakukan sesuatu kemungkaran kepada Allah, segeralah beristighfar, bertaubat dan memohon keampunan Allah SWT agar kita terselamat daripada azab neraka di akhirat kelak.

4. Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita hendaklah mengikut segala ajaran Baginda sebagai bukti bahawa kita telahpun menerima seruannya. Mohonlah doa kepada Allah agar kita sentiasa menuruti ajaran Rasulullah SAW:

اللَّـهُمَّ ارْزُقْنَا مُتَابَعَةً النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلِّمَ أَوَّلاً وَآخِرًا ظَاهِرًا وَبَاطِنًا وَقَوْلاً وَعَمَلاً بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

“Ya Allah berilah kami rezeki supaya dapat mengikuti Nabi SAW dari awal hingga akhir, zahir dah batin, perkataan dan perbuatannya dengan rahmat-Mu Ya Allah wahai yang Paling Mengasihani daripada segala yang mengasihani.”

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathsir
Tafsir Fi Zilal Al Quran
Tafsir Al Qurtubi

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
10 Disember 2019 / 14 Jamadil Awal 1441