Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Surah Al-Mulk: Siri 12)

3055
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Mulk: Siri 12

Ayat: 16-18 : Bukti Kekuasaan Allah pada malapetaka di muka bumi

? Firman Allah serta terjemahannya:

أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الْأَرْضَ فَإِذَا هِيَ تَمُورُ

Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?

أَمْ أَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا ۖ فَسَتَعْلَمُونَ كَيْفَ نَذِيرِ

Atau patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Allah yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; maka dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu?

وَلَقَدْ كَذَّبَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ

Dan demi sesungguhnya! orang-orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka telah mendustakan (rasul-rasulnya lalu mereka dibinasakan); dengan yang demikian, (perhatikanlah) bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu.

? Tafsir ringkas:

1. Dalam ayat-ayat sebelum ini Allah SWT menerangkan dalil-dalil yang menunjukkan kesempurnaan ilmu Allah SWT dan keluasan lingkungan kekuasaanNya untuk mencetuskan rasa takut dan gerun kepada golongan kafir. Seterusnya dalam ayat ini, Allah SWT mengemukakan dalil yang lain bertujuan untuk mengancam dan mengugut manusia jika mereka tetap dalam kekafiran.

2. Peringatan ini diberikan Allah kerana golongan kafir seakan-akan merasa aman dan terhindar daripada siksa Allah setelah mendapat rahmat iaitu kesenangan duniawi. Oleh itu, Allah SWT mengingatkan bahawa amat mudah bagi-Nya untuk menghapuskan mereka dengan sekelip mata sahaja sama ada dengan menimbus mereka ke dalam bumi atau dengan menimpakan ke atas mereka ribut angin yang kencang.

3. Kemudian Allah SWT memerintahkan agar orang-orang kafir memperhatikan penderitaan yang telah dialami umat-umat terdahulu kerana telah mendustakan para rasul yang telah diutus kepada mereka. Antaranya kaum Nuh AS yang telah ditenggelamkan banjir, kaum Syuaib AS yang telah dibinasakan dengan petir, serta Fir’aun dan kaumnya yang telah ditenggelamkan dalam Laut Merah.

? Pengajaran

1. Kita hendaklah sentiasa memperingatkan diri bahawa keamanan dan keselamatan di dunia ini hanyalah terjadi dengan izin Allah SWT. Sekiranya manusia berterusan melakukan kemungkaran, Allah SWT Maha Berkuasa untuk menimpakan malapetaka secara tiba-tiba sebagai hukuman ke atas manusia.

2. Berhati-hatilah dengan dosa dalam kehidupan sehari-hari kerana azab Allah SWT boleh datang secara tiba-tiba dan tiada kuasa yang dapat menghalangnya.

3. Jadikanlah kisah umat terdahulu sebagai ibrah supaya kita dapat menjauhkan diri dari perkara-perkara mungkar dan tidak berasa sombong kepada Allah SWT.

4. Sentiasalah memohon keamanan dan kesejahteraan hidup kerana semua itu di tangan Allah. Pinta juga perlindungan agar dijauhkan daripada kemaksiatan yang boleh mengundang murka Allah.

? Rujukan:
Tafsir Al-Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.

21 Februari 2020_ / _27 Jamadil Akhir 1441