Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Surah Al-Mulk: Siri 11)

256
SHARE

📓 Tadabbur Al Quran 📓

Surah Al-Mulk: Siri 11

Ayat: 15 : Bukti Kekuasaan Allah pada Penciptaan Muka Bumi

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

هُوَ ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ ذَلُولٗا فَٱمۡشُواْ فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُواْ مِن رِّزۡقِهِۦۖ وَإِلَيۡهِ ٱلنُّشُورُ

Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).

📖 Tafsir ringkas:

1. Setelah ditegaskan dalam ayat sebelumnya bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Halus PentadbiranNya dan Maha Luas PengetahuanNya, maka dalam ayat ini sekali lagi Allah membuat penegasan tentang kekuasaanNya. Allah SWT telah menciptakan bumi untuk ummat manusia jelajahinya dengan mudah serta dapat memanfaatkannya dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah seperti pertanian, perniagaan, pengangkutan dan sebagainya. Ayat ini juga menunjukkan bahawa segala usaha yang telah dilakukan di atas muka bumi ini tidak akan membawa sebarang manfaat jika Allah tidak memudahkannya.

2. Kemudian, di pertengahan ayat ini, terdapat dorongan kepada manusia untuk mencari rezeki dan bekerja bersungguh-sungguh. Setelah mereka berusaha bersungguh-sungguh dan bertawakkal dalam mencari rezeki yang melata di atas muka bumi ini, Allah SWT memberi kebenaran kepada mereka untuk mengambil serta memakan sebahagian daripada pelbagai rezeki yang Allah telah sediakan di seluruh dunia.

3. Di akhir ayat ini pula, Allah SWT juga telah memberi peringatan bahawa setelah manusia dibangkitkan daripada kubur masing-masing, mereka akan dikumpulkan untuk menuju Allah bagi mendapat balasan terhadap amal perbuatan mereka ketika hidup di dunia. Hanya kepada Allah sahajalah tempat mereka dikembalikan.

🎀 Pengajaran

1. Manfaatkanlah segala kemudahan yang Allah telah sediakan untuk kita di atas muka bumi ini tanpa melakukan kerosakan padanya. Ingatlah setiap amal perbuatan kita akan dipersoalkan oleh Allah walau sekecil-kecil zarah dan tidak akan terlepas daripada perhitungan Allah SWT.

2. Berjalan serta bermusafirlah untuk melihat alam yang amat indah ini. Pandanglah keindahan dunia ini dalam keadaan kita mengakui kehebatan Allah dengan ucapan ‘Subhaanallah!… Allahu Akbar!… Maa sha Allah!…’. Moga dengan kalimah puji-pujian kita pada Allah dapat memberi kesan pada hati-hati kita agar lebih dekat dengan Sang Maha Pencipta Keindahan.

3. Makanlah segala rezeki yang Allah telah halalkan untuk kita dalam keadaan bersederhana. Jangan sesekali kita mengkufuri nikmat Allah dengan *mengharamkan perkara yang Allah telah halalkan untuk kita nikmatinya sebaik mungkin.

4. Berusahalah dengan kudrat dan kekuatan yang Allah telah kurniakan pada kita sedaya mampu demi mencari keredhaanNya. Jangan sekali-kali bermalas-malasan menunggu hasil dari orang lain sahaja. Ingatlah kisah Saidina Umar yang pernah suatu hari apabila beliau nampak ahli-ahli ibadat yang hanya duduk beribadat sahaja di masjid di samping mengharapkan pemberian orang. Saidina Umar telah memarahi dan memukul mereka kerana mereka sepatutnya berusaha mencari rezeki dahulu, barulah mereka bertawakkal kepada Allah; bukan hanya bertawakkal tanpa berusaha sedikit pun.

5. Sebagai muslim, kita wajib percaya serta beriman dengan Hari Pembalasan yang mana selepas kita mati, pasti kita akan menuju kepada Allah SWT. Di saat itu, kita semua akan dikumpulkan mengikut kumpulan masing-masing. Ada golongan yang beruntung dan ada juga golongan yang rugi. Dikesempatan usia yang Allah masih pinjamkan kepada kita, marilah sama-sama kita berusaha serta berlumba-lumba melakukan kebaikan ( fastabiqul khairat) dalam meraih rahmat dan redha Ilahi menuju SyurgaNya yang abadi.

📚 Rujukan:
1. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman
2. Tafsir Fii Zilalil Quran
3. Tafsir Al-Muyassar
4. Tafsir Ibnu Kathir
5. Tafsir As-Sa’di

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
14 Februari 2020 / 20 Jamadil Akhir 1441