Home Tazkirah Ramadhan DMPM

Tadabbur Al Quran (Surah Al-Ahzab: Siri 5)

1181
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Ahzab: Siri 5

Ayat 12-15: Munafik dan Yahudi Bersekongkol Menentang Islam

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَإِذۡ یَقُولُ ٱلۡمُنَـٰفِقُونَ وَٱلَّذِینَ فِی قُلُوبِهِم مَّرَضࣱ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۤ إِلَّا غُرُورࣰا

Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang hatinya berpenyakit berkata: “Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja”.

وَإِذۡ قَالَت طَّاۤىِٕفَةࣱ مِّنۡهُمۡ یَـٰۤأَهۡلَ یَثۡرِبَ لَا مُقَامَ لَكُمۡ فَٱرۡجِعُوا۟ۚ وَیَسۡتَـٔۡذِنُ فَرِیقࣱ مِّنۡهُمُ ٱلنَّبِیَّ یَقُولُونَ إِنَّ بُیُوتَنَا عَوۡرَةࣱ وَمَا هِیَ بِعَوۡرَةٍۖ إِن یُرِیدُونَ إِلَّا فِرَارࣰا

Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Wahai penduduk Yathrib, tempat ini bukan tempat bagi kamu (untuk berjuang di sini), oleh itu baliklah”. Dan sebahagian dari mereka pula meminta izin kepada Nabi (hendak balik) sambil berkata: “Sesungguhnya rumah-rumah kami memerlukan perlindungan”, pada hal ia tidak memerlukan perlindungan. Mereka hanya bertujuan hendak melarikan diri (dari berjuang menegakkan Islam).

وَلَوۡ دُخِلَتۡ عَلَيۡهِم مِّنۡ أَقۡطَارِهَا ثُمَّ سُئِلُواْ ٱلۡفِتۡنَةَ لَأٓتَوۡهَا وَمَا تَلَبَّثُواْ بِهَآ إِلَّا يَسِيرٗا

Dan kalaulah tempat-tempat kediaman mereka itu diserang oleh musuh dari segala penjurunya, kemudian mereka diajak berpaling tadah menentang Islam, sudah tentu mereka akan melakukannya, dan mereka tidak bertangguh lagi tentang itu melainkan sebentar sahaja.

وَلَقَدۡ كَانُوا۟ عَـٰهَدُوا۟ ٱللَّهَ مِن قَبۡلُ لَا یُوَلُّونَ ٱلۡأَدۡبَـٰرَۚ وَكَانَ عَهۡدُ ٱللَّهِ مَسۡـُٔولࣰا

Pada hal sesungguhnya mereka telahpun mengikat janji dengan Allah sebelum itu, iaitu mereka tidak akan berpaling undur (dari medan perang yang mereka hadiri). Dan (ingatlah) janji setia dengan Allah itu akan ditanya kelak (tentang penyempurnaannya).

? Tafsir ringkas:

1. Tiga ayat sebelum ini menyatakan keadaan musuh Islam daripada kalangan Yahudi dan musyrikin Mekah. Seterusnya Allah SWT menggambarkan pula sikap musuh dalaman daripada kalangan orang munafik sendiri yang berada bersama orang beriman.

2. Orang munafik mempunyai prasangka buruk terhadap Islam. Mereka menganggap apa yang dijanjikan Allah SWT dan RasulNya berhubung kemenangan Islam hanya tipu helah sahaja.

Dalam huraian ayat ini, Hamka membawakan sebuah hadis diriwayatkan oleh `Amru bin `Auf. Beliau hadir dan turut bekerja keras bersama Rasulullah SAW dan para sahabat menggali parit (khandak) semasa perang Ahzab. Kumpulan ‘Amru telah menemui batu putih yang amat keras tidak dapat dipecahkan. Mereka melaporkannya kepada Rasulullah SAW, lantas Baginda berusaha memukulnya sebanyak 3 kali. Setiap pukulan memercikkan api, lalu Rasulullah bertakbir. Para sahabat segera menyahut dengan takbir yang bergemuruh pula.

Wajah Rasulullah setelah itu kelihatan berseri penuh semangat keimanan. Baginda memberitahu, pada setiap percikan api telah dibayangkan kepada baginda yang pertamanya istana kerajaan Kisra, kedua istana kerajaan Rom dan ketiga istana San`aa milik kerajaan Parsi. Jibril membisikkan kelak Islam akan menguasai kesemua kerajaan tadi.

Peristiwa ini membangkitkan semangat juang Rasulullah dan para sahabat walaupun mereka berhadapan suasana getir amat membimbangkan. Sebaliknya golongan munafik menganggap ia satu helah sahaja. Mereka memandang sinis terhadap Nabi SAW dan orang Islam.

3. Golongan munafik cuba melemahkan orang Islam dengan mengatakan bahawa kota Madinah itu bukanlah tempat yang selamat untuk mereka berperang dan bertahan. Bahkan mereka menyeru orang Islam agar meninggalkan sahaja pertahanan kota. Sebahagian mereka berpura-pura meminta izin daripada Rasulullah SAW untuk balik melindungi keluarga masing-masing. Hakikatnya mereka tidak mahu turut berperang.

4. Seterusnya, ayat ke 14 dan 15 menjelaskan bagaimana sikap golongan munafik sekiranya berlaku serangan musuh dari segenap penjuru. Mereka sudah pasti akan menyelamatkan diri dengan menyebelahi dan membantu pihak musuh menentang Islam. Walaupun sebelumnya mereka telah berikrar dan berjanji, mereka tetap melanggarnya. Allah akan menuntut janji mereka di akhirat nanti.

? Pengajaran

1. Amat penting untuk kita menilik ke dalam diri, adakah terdapat mana-mana sifat/ciri munafik dan penyakit hati pada diri kita. Contohnya:
1. Merasa was-was dan ragu pada janji Allah dan Rasul.
2. Berprasangka berlebih-lebihan.
3. Dengki atau tidak suka pada kelebihan yang ada pada Islam dan orang Islam.
4. Tidak menepati janji.
5. Mencipta alasan untuk tidak berjuang.

Setelah menyedari kelemahan yang ada, kita mesti bertaubat dan berusaha memperbaikinya.

2. Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT agar dihindarkan daripada sifat nifak. Antara doa yang boleh diamalkan ialah seperti berikut:

اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْفَقْرِ وَالْكُفْرِ ، وَالْفُسُوقِ ، وَالشِّقَاقِ ، وَالنِّفَاقِ ، وَالسُّمْعَةِ ، وَالرِّيَاءِ

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kefakiran, kekufuran, kefasikan, kedurhakaan, kemunafikan, sum’ah, dan riya”

اللَّهُمَّ طَهِّرْ قَلْبِي مِنَ النِّفَاقِ ، وَعَمَلِي مِنَ الرِّيَاءِ ، وَلِسَانِي مِنَ الْكَذِبِ ، وَعَيْنِي مِنَ الْخِيَانَةِ ، فَإِنَّكَ تَعْلَمُ خَائِنَةَ الأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ ”

“Wahai Allah bersihkanlah hatiku dari nifaq, (bersihkanlah) amalku dari riya’, (bersihkanlah) lisanku dari dusta, (bersihkanlah) mataku dari pengkhianatan. Sesungguhnya Engkau mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan di dalam dada.”

3. Didiklah diri untuk patuh (wala’) dan percaya (thiqah) kepada kepimpinan Islam yang benar dan janganlah terpengaruh dengan seruan, fitnah dan propaganda golongan munafik dan musuh Islam.

4. Kita hendaklah sentiasa ingat bahawa Allah akan menuntut jawapan pada janji kita di akhirat nanti.

? Rujukan:

1. Terjemahan Syamil Al-Quran
2. Memahami Al-Quran Petunjuk Kita
2. Tafsir Al-Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
28 April 2020 / 5 Ramadhan 1441