Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Surah Al-Ahzab: Siri 4

424
SHARE

📓📓 Tadabbur Al Quran 📓📓
Surah Al-Ahzab: Siri 4

Ayat 9-11 : Jejak-Jejak Perang Ahzab: Bantuan daripada Allah

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَآءَتۡكُمۡ جُنُودٞ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِيحٗا وَجُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرًا

Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.

إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا

Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.

هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا

Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.

📖 Tafsir ringkas:

1. Setelah Allah SWT menyatakan beberapa hukum syariat dan janji Allah buat para Rasul dan orang beriman yang membenarkan janji mereka, didatangkan pula ayat-ayat yang menerangkan berkenaan peristiwa perang Ahzab atau Khandak di samping menggambarkan kelebihan yang diperolehi oleh orang beriman daripada peperangan ini.

2. Perang Ahzab terjadi pada bulan Syawal, tahun ke-5 Hijrah. Perang Ahzab adalah peperangan besar umat Islam selepas Perang Badar dan Perang Uhud. Perang Ahzab berlaku disebabkan Yahudi Bani Nadhir melanggar perjanjian dengan umat Islam dan bersekongkol dengan kafir Quraisy Mekah. Mereka bergabung membentuk pakatan besar yang berjumlah 12 ribu orang bagi menyerang umat Islam Madinah. Manakala umat Islam di Madinah hanya berjumlah kira-kira tiga ribu orang sahaja.

3. Ayat 9 memberi gambaran awal penceritaan tentang Perang Ahzab. Ayat ini mengingatkan perihal nikmat bantuan yang diberikan Allah SWT kepada tentera Islam. Al-Quran secara ringkas menyebut tentang permulaan dan pengakhiran Perang Ahzab, iaitu di saat kehadiran gabungan tentera musuh dan cara Allah SWT mengirim angin ribut dan tentera yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia sebagai pertolongan kepada orang-orang yang beriman.

5. Ayat 10 dan 11 pula menggambarkan keadaan ketakutan dan kesusahan yang menyelubungi umat Islam di kota Madinah. Ketakutan dahsyat disebabkan kepungan pakatan tentera dari Musyrikin Mekah, Ghatafan, Yahudi Bani Quraizah dan Bani Nadhir di segenap penjuru Madinah. Ditambah pula dengan cubaan membolosi benteng parit yang dibina oleh panglima-panglima tentera musuh seperti Abu Sufyan Ibn Harb, Khalid Ibn Al-Walid, Amru Ibn Al-As dan Ikrimah Ibn Abu Jahal. Mereka juga berhadapan dengan ancaman dari tipu daya dan muslihat kaum munafik yang menyebarkan berita palsu dari dalam Madinah sendiri.

🎀 Pengajaran:

1. Pasakkanlah dalam jiwa bahawa sehebat manapun manusia, hebat lagi kekuasaan Allah SWT yang Maha Besar dan Maha Kuasa. Musuh Islam hakikatnya sangat lemah walaupun secara zahirnya nampak hebat kerana mereka angkuh dan sombong dengan nikmat yang diperolehi.

2. Renungilah ayat-ayat Al Quran yang menceritakan bagaimana musuh-musuh Allah yang ramai dan kuat ditumpaskan oleh tentera Islam yang lemah dan sedikit kerana bantuan tentera Allah. Yakinlah dengan bantuan Allah SWT dalam apa jua situasi. Allah Maha Berkuasa mendatangkan pertolongan dalam pelbagai bentuk yang tidak dijangka. Maka, perbanyakkanlah solat, berdoa dan bersabar di samping berusaha secara bersungguh-sungguh dan berterusan.

3. Perbetulkanlah i’tiqad kita bahawa kemenangan dalam suatu perjuangan adalah ditentukan oleh Allah SWT, bukannya hasil kehebatan usaha dan strategi kita semata-mata.

📚 Rujukan:
1. Tafsir Fi Zilal Al Quran

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
27 April 2020 / 4 Ramadhan 1441