Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Surah Al-Ahzab: Siri 3

1539
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Ahzab: Siri 3

Ayat: 6-8: Kedudukan dan Keutamaan Nabi SAW ke atas Orang-orang Beriman serta Pensyariatan Hukum Pusaka kepada Kaum Kerabat

? Firman Allah serta terjemahannya:

ٱلنَّبِيُّ أَوۡلَىٰ بِٱلۡمُؤۡمِنِينَ مِنۡ أَنفُسِهِمۡۖ وَأَزۡوَٰجُهُۥٓ أُمَّهَٰتُهُمۡۗ وَأُوْلُواْ ٱلۡأَرۡحَامِ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلَىٰ بِبَعۡضٖ فِي كِتَٰبِ ٱللَّهِ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُهَٰجِرِينَ إِلَّآ أَن تَفۡعَلُوٓاْ إِلَىٰٓ أَوۡلِيَآئِكُم مَّعۡرُوفٗاۚ كَانَ ذَٰلِكَ فِي ٱلۡكِتَٰبِ مَسۡطُورٗا

Nabi itu lebih utama (dalam menjaga kebaikan) bagi orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka. Dan orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak (mewarisi) akan setengahnya yang lain – menurut (hukum) Kitab Allah – daripada orang-orang yang beriman dan orang-orang Muhajirin (yang bukan kerabatnya), kecuali kalau kamu hendak berbuat baik kepada sahabat-sahabat karib kamu. Hukum yang demikian itu adalah tertulis dalam Kitab Allah.

وَإِذۡ أَخَذۡنَا مِنَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ مِيثَٰقَهُمۡ وَمِنكَ وَمِن نُّوحٖ وَإِبۡرَٰهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَۖ وَأَخَذۡنَا مِنۡهُم مِّيثَٰقًا غَلِيظٗا

(Teruslah bertaqwa kepada Kami) dan (ingatlah) ketika Kami mengambil dari Nabi-nabi (umumnya): perjanjian setia mereka, dan (khasnya) dari engkau sendiri (wahai Muhammad), dan dari Nabi Nuh, dan Nabi Ibrahim, dan Nabi Musa, serta. Nabi Isa ibni Maryam; dan Kami telah mengambil dari mereka: perjanjian setia yang teguh (bagi menyempurnakan apa yang ditugaskan kepada mereka);

لِّيَسۡـَٔلَ ٱلصَّٰدِقِينَ عَن صِدۡقِهِمۡۚ وَأَعَدَّ لِلۡكَٰفِرِينَ عَذَابًا أَلِيمٗا

(Tuhan berbuat demikian) supaya Ia menyoal orang-orang yang benar beriman tentang kebenaran iman mereka (untuk menyempurnakan balasan baik mereka); dan (sebaliknya) Ia telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir, azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

? Tafsir:

1. Selepas Allah SWT menafikan kewujudan dua hati dalam diri seseorang (atau penggabungan antara syirik dengan iman dalam satu jiwa) dan membezakan antara amalan jahilliyah yang salah dengan amalan Syariah yang benar, dalam tiga ayat ini pula Allah SWT menjelaskan betapa eratnya hubungan antara orang-orang Mukmin dengan Rasulullah SAW dan betapa beratnya janji setia seorang Rasul dengan Allah SWT yang mengutusnya kerana janji itu akan dipersoal oleh Allah di akhirat kelak.

2. Dalam ayat 6, Allah SWT menjelaskan tentang keutamaan kedudukan Rasulullah SAW bagi orang mukmin mengatasi semua orang hatta diri mereka sendiri. Rasulullah SAW adalah umpama bapa kepada seluruh orang mukmin kerana baginda mempunyai hak penjagaan dan kepimpinan ke atas mereka semua manakala para isteri baginda adalah ibu-ibu mereka. Ayat ini juga telah menetapkan pensyariatan hak pewarisan harta pusaka kepada kaum kerabat kerana dalam urusan pewarisan ini hubungan keturunan lebih diutamakan daripada hubungan persaudaraan yang dibentuk atas dasar iman dan hijrah. Di samping itu, ayat ini juga mengharuskan pemberian wasiat kepada selain kaum kerabat dan menjelaskan bahawa semua hukum-hakam ini telah ditetapkan dalam Al Quran.

3. Keutamaan dan kepentingan Nabi Muhammad SAW pada orang-orang mukmin adalah mengatasi selainnya termasuklah keluarga dan diri mereka sendiri. Rasulullah SAW sangat mengasihani dan menyayangi umatnya kerana baginda menyeru dan memimpin umatnya ke arah kebaikan dan kejayaan, sedangkan mereka sering menyebabkan diri mereka berada dalam kebinasaan. Oleh itu, setiap mukmin mestilah lebih mengasihi dan mengutamakan Rasulullah SAW melebihi diri mereka sendiri. Sabda Rasulullah SAW: “Demi diriku yang berada dalam genggaman-Nya, tidak beriman seseorang kamu sebelum aku lebih dicintainya daripada dirinya sendiri, hartanya, anaknya dan manusia seluruhnya.”

4. Berkait dengan kedudukan para isteri Rasullullah SAW sebagai Ummahatul Mukminin, mereka mestilah dihormati dan dimuliakan sehinggakan mereka tidak harus dikahwini oleh mana-mana lelaki lain selepas kewafatan Rasulullah SAW. Walau bagaimanapun, dari sudut etika pergaulan antara kaum lelaki Muslim dengan Ummahatul Mukminin adalah sama seperti pergaulan mereka dengan perempuan bukan mahram yang lain.

5. Ayat ini juga telah mengembalikan hak pewarisan harta pusaka kepada kaum kerabat dan membatalkan hukum pewarisan atas dasar persaudaraan atas dasar iman dan hijrah yang telah diamalkan di zaman awal Islam. Pada waktu itu, pewarisan harta pusaka dibenarkan di kalangan golongan Muhajirin dan Ansar yang telah dipersaudarakan oleh Rasulullah SAW sedangkan mereka tiada hubungan kekeluargaan.

6. Dalam ayat 7 dan 8 Allah SWT mengingatkan ketika Dia mengambil perjanjian daripada para nabi, terutamanya Nabi Muhammad SAW dan para rasul ulul azmi yang lain iaitu Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa AS, untuk menyampaikan risalah yang diturunkan oleh Allah dan menyeru umat mereka kepada agama yang benar. Allah juga menekankan bahawa janji setia tersebut adalah amat besar dan berat untuk dilaksanakan. Di akhirat kelak, Allah akan menyoal para Nabi dan Rasul AS yang telah menunaikan janji mereka dan menyoal golongan yang membenarkan risalah yang disampaikan kepada mereka dan menyaksikan kebenaran janji para Nabi dan Rasul. Bagi golongan yang ingkar dan menolak risalah pula disediakan azab yang pedih buat mereka.

? Pengajaran:

1. Sebagai orang beriman, kita wajib mencintai dan mengutamakan Rasulullah SAW lebih daripada yang selainnya seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT. Bagi membuktikan kecintaan tersebut, kita mestilah melaksanakan apa yang baginda perintahkan, mengamalkan sunnahnya dan meninggalkan segala larangannya.

2. Sebagai penghormatan kepada para isteri Rasulullah SAW sebagai Ummahatul Mukminin, kita wajib memuliakan mereka dalam ucapan, tulisan ataupun tindak-tanduk kita. Janganlah sekali-kali kita mempersendakan mereka walaupun sebagai gurauan. Selain itu, kita juga bertanggungjawab mempertahankan kemuliaan mereka apabila mereka dihina dan ditohmah oleh musuh-musuh Islam dalam sama ada dalam ucapan, tulisan atau tindakan mereka.

3. Berilah hak para ahli waris dalam harta pusaka kita sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Syarak. Janganlah kita sengaja melakukan sesuatu dengan tujuan untuk menafikan hak mereka semata-mata kerana perasaan benci atau tamak haloba. Yakinlah pada hukum pewarisan yang telah Allah tetapkan kerana Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

4. Terimalah risalah Islam yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dan berusahalah untuk melaksanakan Syariat dengan sepenuhnya agar di akhirat nanti kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang membenarkan janji setia Rasulullah SAW dan mendapat syafaatnya.

? Rujukan:
1. Tafsir Ibn Kathir
2. Tafsir Ruh Al-Ma’ani
3. Tafsir Al Munir
4. Tafsir Al Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
26 April @ Mei 2020 / 3 Ramadhan 1441