Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Al Quran Surah Al-Ahzab: Siri 27

807
SHARE

Tadabbur Al Quran Surah Al-Ahzab: Siri 27

 

Ayat: 63 – 65: Ancaman dan Balasan Terhadap Orang-Orang Engkar Dengan Hari Akhirat.

Firman Allah serta terjemahannya:

يَسْأَلُكَ النَّاسُ عَنِ السَّاعَةِ ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِنْدَ اللَّهِ ۚ وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّ السَّاعَةَ تَكُونُ قَرِيبًا

Manusia bertanya kepadamu tentang hari berbangkit. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang hari berbangkit itu hanya di sisi Allah”. Dan tahukah kamu (hai Muhammad), boleh jadi hari berbangkit itu sudah dekat waktunya.

إِنَّ اللَّهَ لَعَنَ الْكَافِرِينَ وَأَعَدَّ لَهُمْ سَعِيرًا

Sesungguhnya Allah melaknati orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka api yang menyala-nyala (neraka).

خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ لَا يَجِدُونَ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا

Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; mereka tidak memperoleh seorang pelindung pun dan tidak (pula) seorang penolong.

Tafsir ringkas:

1. Pada ayat sebelum ini Allah SWT menunjukkan amaran dan ancaman kepada orang munafik dan kelompok yang suka menyebarkan berita yang tidak benar tentang Islam. Allah juga memberikan ancaman buat orang kafir yang ingkar serta sering mengejek Rasulullah SAW dengan tujuan yang batil.

2. Orang-orang kafir bertanya kepada Nabi SAW tentang bila akan berlakunya hari kiamat dengan tujuan untuk mengejek dan ingin mencari salah serta menguji Nabi SAW. Di dalam tafsir menjelaskan 3 golongan yang bertanya dengan tujuan yang berbeza-beza; pertama, pertanyaan orang kafir yang bertujuan untuk mengejek; kedua, pertanyaan orang munafik dengan tujuan mencari salah; ketiga, pertanyaan orang Yahudi dengan tujuan untuk menguji Nabi SAW. Maka, dalam ayat 63 Allah menjawab bahawa hari kiamat itu ilmu nya hanya di sisi Allah. Hanya Allah sahaja yang mengetahui waktu sebenar berlakunya, dan tidak dapat diketahui oleh malaikat atau nabi-nabi.

3. Seterusnya Allah menjelaskan bahawa Dia melaknat orang-orang kafir. Laknat ke atas orang kafir bermaksud mereka dijauhkan dan dipulaukan daripada rahmat Allah SWT. Mereka juga akan mendapat azab api neraka yang panas dan marak menyala.

4. Orang-orang kafir dimasukkan ke dalam neraka tersebut dalam keadaan mereka akan kekal di dalamnya buat selama-lamanya. Tidak ada harapan bagi mereka untuk selamat daripada azab api neraka Allah. Tiada seorang pun yang akan menjadi penolong mereka untuk melepasi azab tersebut. Tidak akan ada juga syafaat buat mereka yang boleh menghalang azab api neraka terkena kepada mereka. Mereka tiada penolong dan pembantu selama-lamanya.

Pengajaran

1. Allah memberi ancaman kepada kaum musyrikin yang ingin segera melihat hari kiamat. Hari kiamat bukan untuk ditunggu-tunggu; sebaliknya, mempersiapkan diri bertemunya merupakan perkara yang lebih utama. Kita sebagai seorang muslim mestilah mempersiapkan diri dengan sehabis daya sebagai bekalan di akhirat kelak kerana tiada seorang pun mengetahui bila akan berlakunya hari kiamat melainkan Allah SWT sahaja. Sesungguhnya kiamat itu adalah termasuk dalam perkara ghaibiyyat yang khusus bagi Allah SWT. Maka Allah mengherdek sesiapa sahaja yang gopoh dan untuk mendiamkan orang-orang yang suka mencari kesalahan dengan memberi jawapan bahawa kiamat sudah dekat. Justeru kita selaku hamba tidak perlu sibuk perkara yang bukan menjadi urusan kita, bahkan sibukkanlah diri kita dalam menambah amal ibadah kita kepada Allah kerana tujuan penciptaan kita adalah untuk beribadah kepada Allah SWT.

2. Allah melaknat golongan yang tidak beriman kepada Allah. Orang-orang kafir terus memilih untuk menyekutukan Allah. Sebagai muslim sejati juga harus memilih untuk terus beriman kepada Allah hingga akhir hayat kita. Dalam masa yang sama, kita mesti terus berusaha menjadi hamba yang bertaqwa di sisi Allah, kerana kufur itu balasannya neraka, iman dan taqwa itu balasannya syurga. Bersama-sama kita meraih rahmat dan kasih sayang Allah serta berusaha menjauhkan diri kita daripada murka Allah dengan menghindarkan segala perkara dosa dan maksiat.

3. Pada hari kiamat, Allah melaknat dan menyiksa orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka api neraka yang menyala-nyala. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya mereka tidak akan mendapatkan satu pun pelindung dan penolong yang menyelamatkan mereka dari azab Allah. Sebagai manusia kita diberi hak untuk memilih bakal mendapat azab atau nikmat. Perkara akhirat merupakan pengakhiran hidup kita, penentuan kepada segala amalan yang dilakukan di dunia. Jika beroleh syurga, selama-lamanya kita akan bahagia. Jika sebaliknya, maka selama-lamanya akan derita bagi mereka yang tiada kalimah iman dalam hati mereka. Justeru, ayuh kita berfikir secara bijak dan membuat pilihan yang betul kerana dunia hanyalah tempat persinggahan sementara.

 Rujukan:
Tafsir Al-Munir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
20 Mei 2020 / 27 Ramadhan 1441