Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Al-Quran Surah Al-Ahzab: Siri 20

1648
SHARE

Tadabbur Al-Quran Surah Al-Ahzab: Siri 20

Ayat 49: Etika Perceraian Dalam Islam

Firman Allah serta terjemahannya:

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا نَكَحتُمُ المُؤمِنٰتِ ثُمَّ طَلَّقتُموهُنَّ مِن قَبلِ أَن تَمَسّوهُنَّ فَما لَكُم عَلَيهِنَّ مِن عِدَّةٍ تَعتَدّونَها ۖ فَمَتِّعوهُنَّ وَسَرِّحوهُنَّ سَراحًا جَميلًا

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bernikah dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang iddah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah “mut`ah” (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya”.

Tafsir Ringkas:

1. Dalam beberapa ayat sebelum ini, Allah SWT telah menerangkan beberapa hukum kekeluargaan berkaitan anak angkat. Dalam ayat ini pula, Allah menerangkan beberapa hukum kekeluargaan berkaitan perkahwinan dan perceraian.

2. Hukum pertama ialah tiada ‘iddah bagi wanita yang dikahwini lalu diceraikan oleh suaminya sebelum disetubuhi. Para ulama’ bersepakat bahawa lafaz نَكَحتُمُ (daripada perkataan nikah) dalam ayat ini adalah bermaksud akad nikah manakala perkataan تَمَسّوهُنَّ merujuk kepada jimak.
Sekiranya perceraian berlaku selepas si isteri telah disetubuhi, maka dia wajiblah beriddah. Begitu juga sekiranya si suami meninggal dunia sebelum sempat meniduri isterinya, maka wanita itu wajib ber’iddah selama 4 bulan 10 hari.

3. Hukum kedua ialah harus bagi suami menceraikan isteri sebelum menyetubuhinya. Talak ini dipanggil “talak bain suhgra” yang mana suami tidak boleh rujuk kembali kepada isterinya kerana isteri tidak diwajibkan ber’iddah akibat penceraian tersebut. Mereka hanya boleh kembali menjadi suami isteri dengan akad dan mas kahwin yang baharu berdasarkan persetujuan keduanya.

4. Ketiga, disunatkan dalam mazhab Syafie untuk memberikan wanita yang diceraikan sebelum disetubuhi ini dengan suatu pemberian mut’ah (sagu hati) sebagai ganti kepada mahar yang diperolehinya jika diceraikan selepas disetubuhi.

5. Di akhir ayat ini, Allah SWT memerintahkan para suami supaya menceraikan isteri dengan cara yang baik dan mengikut syara’.

Pengajaran:

1. Sesungguhnya perkara halal yang paling dibenci oleh Allah SWT adalah talak. Oleh itu, kita hendaklah menjauhi perkara-perkara yang dibenci Allah apatah lagi perkara yang dimurkai-Nya.

2. Dalam mencari pasangan hidup, perlulah bermula dengan memohon petunjuk daripada Allah SWT agar calon pasangan yang dicari adalah soleh/solehah dan betul-betul bersesuaian.

3. Sekiranya timbul perselisihan di antara suami isteri yang tidak mampu diselesaikan oleh keduanya, hendaklah merujuk kepada pakar kauseling keluarga yang boleh menjadi orang tengah dalam menyelesaikan krisis rumah tangga.

4. Jika perselisihan tidak dapat diselesaikan juga, maka hendaklah berpisah dengan cara yang baik dan terpuji tanpa keburukan, mudarat, pertengkaran, cela mencela, saling menuntut dan sebagainya.

Rujukan:
1.Tafsir Al-Munir
2.Tafsir Pimpinan al-Rahman
3. Fiqh Al-Manhaji

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
13 Mei 2020 / 20 Ramadhan 1441