Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Al Quran : Surah Al-Ahzab: Siri 17

908
SHARE

Tadabbur Al Quran : Surah Al-Ahzab: Siri 17

Ayat: 39-40: Pujian Allah Buat Rasulullah SAW dan Pembelaan Terhadapnya.

Firman Allah serta terjemahannya:

الَّذينَ يُبَلِّغونَ رِسٰلٰتِ اللهِ وَيَخشَونَهُ وَلا يَخشَونَ أَحَدًا إِلَّا اللهَ ۗ وَكَفىٰ بِاللهِ حَسيبًا

(iaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang (pun) selain kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan.

مّا كانَ مُحَمَّدٌ أَبا أَحَدٍ مِّن رِّجالِكُم وَلٰكِن رَّسولَ اللهِ وَخاتَمَ النَّبِيّينَ ۗ وَكانَ اللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمًا

Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang lelaki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Tafsir ringkas:

1. Salah satu penegasan yang terdapat dalam Surah al-Ahzab adalah mengenai keutamaan dan kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul seluruh umat dan penutup silsilah kenabian. Petikan firman Allah dari ayat pertama surah ini sehinggalah ke ayat 39 dan 40 secara konsisten menegaskan perkara ini.

2. Nabi Muhammad SAW tidak teragak-agak untuk melaksanakan perintah Allah sekalipun perasaan kasih baginda sebagai bapa terhadap anak angkatnya. Ayat 39 menegaskan tentang sikap dan kepatuhan para nabi terdahulu. Begitulah juga tindakan Nabi Muhammad SAW terhadap titah perintah Allah.

3. Ayat ke-40 hadir sebagai pembelaan Allah dan menjawab provokasi tohmahan golongan munafik dan Yahudi yang mempertikaikan tindakan Nabi Muhammad SAW yang berkahwin dengan Zainab kerana perintah Allah SWT. Hujah dan provokasi mereka adalah Nabi Muhammad berkahwin dengan ‘menantu’ sendiri sedangkan Zaid ialah ‘anak lelaki’ baginda. Maka turunlah ayat ini membersihkan peribadi baginda bahawa baginda bukan bapa kepada Zaid atau mana-mana anak lelaki. Bahkan semasa ayat madaniyah ini turun, dua anak kandung lelaki baginda sudah meninggal dunia. Ayat ini secara tegas menyatakan bahawa baginda seorang utusan dan nabi yang terakhir.

4. Di penghujung ayat 40, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia Maha Mengetahui rahsia dan keterangan setiap sesuatu. Ini termasuklah hikmah di sebalik perintah menjaga rekod keturunan keluarga dan perkahwinan Nabi Muhammad dengan Zainab. Allah juga mengetahui segala perancangan orang munafik dan Yahudi untuk menjatuhkan kredibiliti Nabi Muhammad dengan pelbagai tohmahan, provokasi dan rancangan sebagaimana yang telah dibincangkan dalam siri yang lalu.

Pengajaran

1. Para Nabi dan Rasul menunjukkan kepada kita sikap keteguhan terhadap usaha menyampaikan risalah Islam. Contohilah keteguhan ini dalam kehidupan, iaitu sampaikanlah mesej Islam mengikut kemampuan dan ruang masing-masing.

2. Apabila berlaku pertembungan antara kepentingan diri dengan hukum Allah SWT, utamakanlah hukum Allah kerana itu menunjukkan ketaatan seseorang hamba.

3. Berhati-hati dengan hukum berkaitan anak angkat. Jika mengambil anak angkat, jangan sesekali di’bin’kan kepada bapa angkatnya, dan peliharalah batas-batas pergaulan dan aurat yang ditentukan syariat.

4. Yakin dan beramallah dengan seluruh Syariat yang disampaikan oleh Rasulullah SAW kerana sumbernya adalah daripada Allah Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk seluruh makhlukNya.

Rujukan:
1. Mufti Taqi Uthmani. Meaning of the Noble Quran. Translation and Tafsir (Commentary) of the Holy Quran.
2. Abdullah Basmeih. Tafsir Pimpinan al-Rahman
3. Rujukan web: www.quran.com

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
10 Mei 2020 / 17 Ramadhan 1441