Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Al Quran : Surah Al-Ahzab: Siri 13

1162
SHARE

??Tadabbur Al Quran??
Surah Al-Ahzab: Siri 13

Ayat 32 : Ketinggian Adab dan Santun Para Isteri Nabi – Menjaga Tutur Kata dan Adab Berbicara

? Firman Allah serta terjemahannya:

يَٰنِسَآءَ ٱلنَّبِيِّ لَسۡتُنَّ كَأَحَدٖ مِّنَ ٱلنِّسَآءِ إِنِ ٱتَّقَيۡتُنَّۚ فَلَا تَخۡضَعۡنَ بِٱلۡقَوۡلِ فَيَطۡمَعَ ٱلَّذِي فِي قَلۡبِهِۦ مَرَضٞ وَقُلۡنَ قَوۡلٗا مَّعۡرُوفٗا

Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

? Tafsir ringkas:

1. Ayat sebelum ini menyatakan ketinggian kedudukan para isteri Nabi SAW kerana mereka berdampingan dengan baginda SAW. Dalam ayat ini pula, Allah SWT mengingatkan para isteri Nabi SAW bahawa mereka memiliki kedudukan seandainya mereka bertaqwa.

2. Seterusnya, Allah SWT melarang mereka melunakkan suara (seperti yang sepatutnya mereka bercakap dengan suami) ketika berbicara dengan lelaki yang bukan mahram kerana perbuatan itu akan menyebabkan lelaki yang mempunyai niat yang tidak baik tertarik hati kepada mereka.

3. Oleh itu, Allah memerintahkan mereka agar berbicara dengan perkataan yang baik-baik dengan nada suara biasa yang tidak terlalu lembut, berbeza dengan cara percakapan dengan Nabi SAW selaku suami mereka.

? Pengajaran:

1. Meskipun ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri Nabi SAW secara khusus, namun teguran itu juga terpakai kepada wanita-wanita Muslimah yang lain. Oleh itu, sebagai seorang Muslimah yang bertaqwa, janganlah melunakkan suara tatkala berbicara dengan lelaki yang bukan mahram untuk urusan-urusan yang dibenarkan.

2. Islam adalah agama yang sangat mementingkan kesejahteraan. Dalam konteks hubungan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, jagalah tatacara akhlak masing-masing agar kita terpelihara daripada terjebak dalam perbuatan yang hina iaitu penzinaan.

3. Muslimah mukminah adalah mereka yang sentiasa memelihara diri daripada melakukan perbuatan yang keji termasuklah muqaddimah kepada perkara keji tersebut. Mudah-mudahan, kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat rahmat dan perlindungan daripada Allah SWT dengan sentiasa mengamalkan suruhanNya dan menghindarkan diri daripada segala laranganNya.

? Rujukan:
Al Tafsir al Munir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
6 Mei 2020 / 13 Ramadhan 1441