Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Surah Al-Ahzab: Siri 12)

1306
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Ahzab: Siri 12

Ayat: 30 – 31: Gandaan Dosa dan Pahala Buat Isteri-Isteri Rasulullah SAW

? Firman Allah serta terjemahannya:

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ مَنْ يَأْتِ مِنْكُنَّ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ يُضَاعَفْ لَهَا الْعَذَابُ ضِعْفَيْنِ وَكَانَ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا

Wahai isteri-isteri Nabi! Barang siapa di antara kamu yang mengerjakan perbuatan keji yang nyata, nescaya azabnya akan dilipatkan gandakan dua kali ganda kepadanya. Dan demikian itu, adalah mudah bagi Allah.

وَمَنْ يَقْنُتْ مِنْكُنَّ لِلَّهِ وَرَسُولِهِ وَتَعْمَلْ صَالِحًا نُؤْتِهَا أَجْرَهَا مَرَّتَيْنِ وَأَعْتَدْنَا لَهَا رِزْقًا كَرِيمًا

Dan barang siapa di antara kamu semua (isteri-isteri Nabi) taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan mengerjakan amal soleh, nescaya Kami memberikan kepadanya pahala dua kali ganda dan Kami sediakan rezeki yang mulia bagi mereka.

? Tafsir ringkas:

1. Ayat sebelum ini menyatakan teguran Allah SWT kepada para isteri Nabi SAW. Lanjutan daripada itu, dalam ayat ini Allah SWT memberikan peringatan dan galakan agar mereka taat dan melakukan amal soleh secara berterusan.

2. Allah SWT mengingatkan Ummahatul Mukminin (isteri-isteri Nabi) tentang kedudukan mereka yang mulia iaitu berada hampir dengan Nabi SAW sebagai penyampai wahyu. Oleh sebab itu, jika mereka melakukan perbuatan keji yang nyata seperti nusyuz, menderhaka kepada suami atau berakhlak buruk, dosa dan hukuman ke atas mereka akan digandakan dua kali ganda berbanding orang lain. Tiada kesukaran bagi Allah untuk menghukum mereka walaupun mereka mempunyai kedudukan yang tinggi sebagai isteri Nabi SAW.

3. Seterusnya, Allah SWT menyebutkan pula keadilan dan kemurahan kasih sayang-Nya sekiranya isteri-isteri Nabi SAW taat kepada Allah dan RasulNya. Allah akan menggandakan pahala untuk mereka. Di syurga kelak, mereka akan berada bersama Nabi SAW di atas semua makhluk di al-Wasilah iaitu tempat tertinggi dalam syurga yang paling dekat dengan ‘Arasy.

? Pengajaran

1. Setiap Muslimah mestilah mencontohi akhlak dan sifat mulia isteri-isteri Rasulullah SAW iaitu tidak melakukan perbuatan yang keji sehingga menjatuhkan imej seorang muslimah seperti ikhtilat, tabarruj dan sebagainya.

2. Sedarilah bahawa semakin tinggi kedudukan seseorang wanita dalam masyarakat, maka semakin berat tanggungjawabnya. Oleh itu, peliharalah akhlak dan etika dalam semua perkara yang kita lakukan dengan menjaga batas-batas syarak serta tatasusila masyarakat.

3. Sebagai orang Islam, kita hendaklah benar-benar meyakini adanya hari pembalasan. Setiap perkara yang telah kita lakukan di atas muka bumi sama ada baik atau buruk akan diberikan balasan di akhirat kelak.

? Rujukan:
Tafsir Ibu Kathir
Tafsir Al- Munir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
5 Mei 2020 / 12 Ramadhan 1441