Home Berita PAS Melaka

Ketua Menteri Melaka Umum Tiga Projek Atasi Kekurangan Bekalan Air Melaka

1147
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MELAKA : YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Haji Sulaiman Md Ali mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Melaka bakal melaksanakan tiga projek baharu bagi menangani masalah kekurangan air di Negeri Melaka. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri Melaka berkaitan perkara ini semalam.

Menurut kenyataan tersebut, ketiga-tiga projek itu ialah ‘Projek Empangan Jernih’, ‘Projek Off River Storage Melaka’ dan ‘Projek Mitigasi Tasik Biru Dan Sungai Kesang’.

Tambah kenyataan itu, ‘Projek Empangan Jernih yang pada awalnya meliputi keluasan 1200 ekar, namun kemudiannya dikecilkan kepada 616 ekar kerana bantahan dari sesetengah penduduk di awal cadangannya. Kawasan ini meliputi Mukim Sungai Siput, Mukim Ayer Pa’abas dan Mukim Ramuan China Kechil.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa empangan baharu yang bernilai RM200 juta dan diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan pada Oktober 2018 ini bakal memulakan pembinaan dalam tahun ini. Ia mempunyai kapasiti takungan 13,000 juta liter air dan mampu membekalkan 100 juta liter sehari untuk tujuan rawatan air dan dijangka siap dalam jangkamasa 30 bulan.

Bagi ‘Projek Off River Storage’ pula, kenyataan itu menyebut, Kerajaan Negeri telah mengenalpasti potensi Tasik Biru di Daerah Jasin sebagai sumber air baharu kepada Negeri Melaka.

Projek Tasik Biru ini, kata kenyataan itu lagi, akan jadi sebahagian dari komponen ‘Projek ORS Melaka’. ‘Laporan Kajian Interim 1’ mengesahkan bahawa projek ini berpotensi untuk membina sebuah kolam takungan berkapasiti 25,000 juta liter serta membekalkan sejumlah 280 juta liter air sehari untuk tujuan rawatan air. Projek ini yang bernilai RM350 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 2017.

Dalam kenyataan itu Ketua Menteri Melaka turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Melaka sedang memohon peruntukan dari Kerajaan Pusat untuk melaksanakan ‘Projek Mitigasi Tasik Biru Dan Sungai Kesang’ sebagai alternatif menghadapi musim kemarau yang dihadapi oleh Negeri Melaka dua kali dalam setahun.

Menurut beliau, sumber air dari Tasik Biru dan Sungai Kesang ini akan dialirkan ke Empangan Durian Tunggal (EDT) bagi mengurangkan kebergantungan empangan ini kepada sumber air dari Sungai Melaka.

Dalam kenyataan tersebut Sulaiman menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Melaka pada 22 April lepas telah mengemukakan surat kepada Menteri Alam Sekitar Dan Air, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man bagi memohon peruntukan berjumlah RM300 juta untuk membiayai perlaksanaan projek tersebut.

Tambah Sulaiman lagi, Negeri Melaka adalah antara lima negeri di Malaysia yang mempunyai sumber air yang terhad selain Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor. Mengikut ‘Kajian Natural Water Resources Study (NWRS) 2000-2050’ Melaka akan mengalami defisit sumber air menjelang 2022 bagi menampung keperluan bekalan air yang semakin meningkat.

“Kerajaan Negeri Melaka mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) kerana telah membantu dalam usaha untuk membangunkan fasiliti dan kemudahan sumber dan bekalan air Negeri Melaka.

“Kerajaan Negeri Melaka begitu berharap agar projek-projek yang telah diluluskan dapat dilaksana dan disiapkan dengan segera. Selain itu besar juga harapan Kerajaan Negeri agar Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) dapat mempertimbangkan permohonan projek baru.” kata kenyataan tersebut.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)