Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Surah Al-Ahzab: Siri 10)

1188
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Ahzab: Siri 10

Ayat: 26-27 : Pengajaran buat Kaum Yahudi Bani Quraizah

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَأَنزَلَ ٱلَّذِینَ ظَـٰهَرُوهُم مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَـٰبِ مِن صَیَاصِیهِمۡ وَقَذَفَ فِی قُلُوبِهِمُ ٱلرُّعۡبَ فَرِیقࣰا تَقۡتُلُونَ وَتَأۡسِرُونَ فَرِیقࣰا

Dan Dia menurunkan golongan Ahli Kitab (kaum Yahudi) yang membantu tentera musuh itu, dari benteng-benteng mereka (menyerah diri), setelah diisikanNya hati mereka dengan perasaan gerun. (Lalu mereka diadili dan dijatuhkan (hukuman); sebahagian di antaranya kamu bunuh, dan sebahagian lagi kamu tawan.

وَأَوۡرَثَكُمۡ أَرۡضَهُمۡ وَدِیَـٰرَهُمۡ وَأَمۡوَ ٰ⁠لَهُمۡ وَأَرۡضࣰا لَّمۡ تَطَـُٔوهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَیۡءࣲ قَدِیرࣰا

Dan Dia menjadikan kamu mewarisi tanah-tanah dan rumah-rumah serta harta benda mereka, dan juga tanah-tanah (di negeri-negeri lain) yang belum kamu menjejaknya. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

? Tafsir ringkas:

1. Setelah menyatakan hikmah ilahiyyah daripada ujian perang Ahzab dalam ayat sebelum ini, Allah SWT telah memerintahkan Nabi Muhammad SAW bangkit menyerang Bani Quraizah dalam ayat seterusnya.

2. Bani Quraizah telah berpaling tadah menyebelahi kaum musyrikin dalam perang Ahzab. Mereka telah membatalkan perjanjian yang dimeteraikan dengan Rasulullah SAW dan menyulitkan kaum muslimin untuk menghadapi serangan tentera gabungan dari luar Madinah. Setelah dikepung selama 25 malam, Bani Quraizah akhirnya menyerah dan bersetuju untuk menerima apa sahaja keputusan yang dibuat terhadap mereka. Semua parajurit mereka dijatuhkan hukuman bunuh, kanak-kanak dan wanita-wanita mereka dijadikan tawanan dan harta benda mereka dirampas.

3. Dengan tertawannya Bani Quraizah, tentera Islam mendapat harta peninggalan fa’i berupa tanah, rumah, harta dan binatang tunggangan mereka kesemuanya. Kalimah (وَأَرۡضࣰا لَّمۡ تَطَـُٔوهَاۚ ) dalam ayat ini mengisyaratkan bahawa Allah SWT akan membantu tentera Islam menguasai bumi yang belum pernah mereka jejaki iaitu Rom dan Parsi. Ini adalah nikmat dan berita gembira yang sangat besar daripada Allah SWT buat Rasulullah SAW dan para sahabat.

? Pengajaran

1. Ambillah ibrah daripada kisah kemenangan tentera Islam dalam perang Ahzab dan hukuman yang diterima oleh Bani Quraizah. Ingatlah bahawa sama ada cepat atau lambat pasti Allah SWT akan memberikan kemenangan kepada kaum Muslimin dan balasan yang setimpal kepada musuh-musuh Islam.

2. Umat Islam perlu sentiasa memperbaiki niat dalam melakukan ibadah umum dan khusus, kerana khuatir segala amalan yang dilakukan dipengaruhi oleh habuan dunia yang bakal diterima seperti yang berlaku kepada golongan munafik.

3. Tidak menjadi kesalahan dalam syariat mengambil fa’i atau ghanimah daripada sesuatu peperangan, namun hendaklah dibahagikan mengikut bahagian yang ditentukan oleh syarak dengan penuh amanah.

? Rujukan:
Tafsir Al Munir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
3 Mei 2020/ 10 Ramadhan 1441