Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Siri 37/2018

1498
SHARE

? *Tadabbur Al Quran* ?
_Siri 37/2018_

*SURAH AL KAHFI: KELUASAN ILMU ALLAH SWT DAN KEWAJIPAN MENGESAKANNYA: 109-110*

? *Firman Allah SWT serta terjemahannya:*

قُلْ لَوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَنْ تَنْفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا (١٠٩)

_Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”._

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا (١١٠)

_Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”._

? *Tafsir Ringkas:*

1. Allah SWT berfirman dalam ayat 109 tentang keluasan ilmu-NYA, dengan memberi perumpamaan seandainya hendak ditulis semua ilmu Allah menggunakan tinta yang sebanyak lautan itu, kemudian ditambahkan lagi lautan tinta demi lautan tinta, tentulah kalimat-kalimat Allah tidak akan habis.

2. Al-Rabi’ ibnu Anas mengatakan, sesungguhnya perumpamaan ilmu seluruh hamba Allah semuanya sama dengan setitis air bila dibandingkan dengan semua lautan.

3. Manakala ayat 110 merupakan ayat terakhir dalam surah ini, Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW agar memberitahu orang-orang musyrik yang mendustakan kerasulan baginda, bahawa sesungguhnya Allah SWT itu Tuhan yg Esa, yakni tidak ada sekutu bagi-Nya. Barangsiapa ingin memperoleh pahala dan balasan kebaikan-Nya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh semata-mata hanya kerana-Nya, dan tiada sekutu bagi-Nya.

4. Syarat utama dari amal yang diterima oleh Allah, iaitu harus ikhlas kerana Allah dan sesuai dengan tuntunan syariat yang telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW.

5. Allah juga memberitahu bahawa Dia hanya menerima suatu amal perbuatan yang hanya diniatkan untuk memperoleh redha-Nya.

? *Pengajaran:*

1. Kita hendaklah sentiasa merasa rendah diri serta kerdil di sisi Allah SWT, di atas segala keluasan ilmu yang dimiliki. Hindari diri dari sikap sombong, rasa hebat dan banyak ilmu sedangkan pemilik ilmu yang maha luas adalah Allah SWT Yang Maha Esa. Maka hendaklah kita sentiasa berusaha menambah ilmu dan berniat meraih redha Allah.

2. Sebelum melakukan sesuatu ibadat, hendaklah kita berniat melakukannya hanya kerana Allah SWT, dan cuba sedaya upaya untuk ikhlas kepada-Nya.

3. Sedaya upaya menjaga hati dan cermat ketika melakukan sesuatu ibadat atau pekerjaan agar terhindar dari kehendak untuk mendapat pujian, atau bertujuan untuk riak (menunjuk-nunjuk) kepada sesama manusia.

4. Hendaklah sentiasa bermuhasabah diri setiap hari, adakah hati kita betul-betul ikhlas dan hanya meraih redha Allah semasa melakukan ibadat.

5. Bersegeralah memohon ampun dan bertaubat di atas segala kekurangan dan kelalaian semasa melakukan amal ibadat kepada Allah SWT.

6. Yakin bahawa Allah tuhan yang Esa menyaksikan amal perbuatan yang sedang dilakukan.

7. Berusaha untuk tidak leka dan lalai dalam nikmat dunia yang sementara. Bahkan sepatutnya kita seharusnya berusaha untuk menambah pahala untuk kehidupan di akhirat.

8. Hendaklah kita sentiasa saling ingat mengingati tentang nikmat dunia yang umpama sebiji sawi di dalam besarnya dunia ini secara keseluruhan, jika dibandingkan dengan nikmat akhirat yang begitu banyaknya.

*? Rujukan:*
Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
*Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak*

_13 April 2018/ 25 Rejab 1439_