Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Siri 34/2018

3131
SHARE

Tadabbur Al Quran 
Siri 34/2018

SURAH AL-KAHFI: PERJALANAN ZUL QARNAIN MEMBINA TEMBOK : 95-98

Firman Allah SWT serta terjemahannya:

قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا (٩٥)

Zul Qarnain berkata: “Apa yang telah diberikan kuasa oleh Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka”

آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ ۖ حَتَّىٰ إِذَا سَاوَىٰ بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انْفُخُوا ۖ حَتَّىٰ إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا (٩٦)

“Berilah aku potongan-potongan besi”. Hingga apabila besi itu telah sama rata dengan kedua (puncak) gunung itu, berkatalah Zul Qarnain: “Tiuplah (api itu)”. Hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata: “Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar aku tuangkan ke atas besi panas itu”.

فَمَا اسْطَاعُوا أَنْ يَظْهَرُوهُ وَمَا اسْتَطَاعُوا لَهُ نَقْبًا (٩٧)

Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.

قَالَ هَٰذَا رَحْمَةٌ مِنْ رَبِّي ۖ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ رَبِّي جَعَلَهُ دَكَّاءَ ۖ وَكَانَ وَعْدُ رَبِّي حَقًّا (٩٨)

Zul Qarnain berkata: “Ini (dinding) adalah rahmat dari Tuhanku, maka apabila sudah datang janji Tuhanku, Dia akan menjadikannya hancur luluh; dan janji Tuhanku itu adalah benar”.

 Tafsir Ringkas:

1. Setelah mendengar pengaduan kaum yang tinggal di hadapan dua pergunungan di wilayah utara tersebut, Zul Qarnain bersetuju untuk menolong mereka. Walaupun kaum tersebut sanggup membayar harga pembinaan tembok tersebut, Zul Qarnain melakukannya secara sukarela dan percuma atas dasar tanggungjawab sosial beliau sebagai penguasa dan atas dasar taqwa demi untuk menolong golongan mustadh`afin (lemah) dan menderita, bukannya mengambil kesempatan di atas kesempitan mereka.

2. Zul Qarnain memberikan khidmat kepakaran yang dimilikinya dengan memindahkan teknologi kepada kaum berkenaaan dengan mendapatkan sumber tenaga insan daripada mereka. Beliau memulakan projek mega ini dengan semangat ta’awun iaitu menyeru kaum tersebut untuk bekerjasama dan tolong menolong dalam menjayakan pembinaan tembok tersebut. Beliau boleh sahaja memaksa dengan kekuasaan yang ada padanya tetapi beliau tidak berbuat demikian. Sebaliknya, beliau menggunakan bahasa yang baik dan lembut supaya mereka menyediakan alat-alat dan pekerja bagi membantunya membina tembok tersebut.

3. Projek pembinaan tersebut menggunakan ilmu kemahiran pembuatan besi. Besi mentah dibakar terlebih dahulu sebelum dibentuk mengikut apa yang dikehendaki. Besi yang mendidih apabila bercampur dengan tembaga yang cair akan terjalin dengan kuat dan teguh. Zul Qarnain bukan setakat menolong tetapi juga mengajar ilmu pertukangan besi.

4. Hasil daripada usaha, kepakaran dan kerjasama yang padu dan akhirnya terbinalah sebuah tembok yang tinggi, kukuh dan tebal sehingga golongan Ya’juj dan Ma’juj tidak dapat memanjat dan menembusi tembok tersebut.

5. Apa yang lebih penting ayat ini mengariskan bahawa kejayaan dalam pembinaan tembok penghalang tersebut merupakan suatu rahmat daripada Allah SWT; bukanlah disebabkan atas usaha, kekuatan serta kemampuan diri Zul Qarnain sendiri. Beliau tidak berbangga dan bermegah dengan kekuasaan dan kemampuan yang dikurniakan kepadanya tetapi menganggap kejayaan itu sebagai nikmat dari Allah SWT bagi kaum tersebut.

6. Zul Qarnain mengingatkan kaum tersebut bahawa walaupun mereka melihat tembok itu kukuh dan kuat, kekuasaan Allah SWT mengatasi segala-galanya. Tembok yang teguh itu akan runtuh suatu hari nanti, apabila tibanya hari kiamat.

Pengajaran:

1. Untuk membangun negara, umat Islam wajib mempelajari rahsia kehebatan dan kekuatan seorang penguasa yang terdapat dalam diri Zul Qarnain. Kisah ini menunjukkan contoh bahawa seorang pemerintah yang adil, baik dan takut kepada Allah SWT tidak akan menyalahguna kuasa dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya serta tidak mengambil kesempatan atas kewangan negara mahupun harta benda rakyatnya.

2. Pemimpin negara mestilah amanah dan bertanggungjawab terhadap hasil mahsul negara. Apabila kewangan negara mencukupi dan melimpah ruah, maka sistem cukai tidak perlu dikenakan kepada rakyat. Pemimpin yang beriman percaya bahawa sistem pemerintahan negara yang berasaskan taqwa dan syariat Islam, sudah pasti akan mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah SWT. Pemimpin yang beriman dan amanah juga dapat menjamin keadilan ekonomi dan ketelusan dalam pengurusan dan pentadbiran negara; berbeza daripada pemerintah yang berdasarkan kepada sistem taghut yang sentiasa mencari keuntungan dari setiap projek mahupun kesempatan.

3. Pemimpin juga perlu sentiasa bersiap sedia membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyatnya bagi menjamin keamanan dan kesejahteraan.

4. Negara umat Islam memerlukan kepimpinan yang cekap dan bijaksana dalam menyusun atur pentadbiran negara bagi mendapatkan hasil yang berkualiti dan terbaik kerana sumber kewangan, prasarana dan tenaga yang mencukupi belum lagi menjamin kelancaran pengurusan dan pembangunan sesebuah negara.

5. Umat Islam mestilah berusaha membina dan melahirkan barisan pemimpin yang bertaqwa yang sentiasa memberikan tunjuk ajar, bantuan, nasihat serta peringatan dan juga mengajak rakyatnya ke arah kebaikan dan mencegah mereka daripada melakukan perkara-perkara kemaksiatan dan kemungkaran.

6. Para pemimpin dan penggerak dalam sebuah jemaah mestilah merasakan bahawa taklifan dan amanah yang dipegang merupakan satu nikmat kurniaan dari Allah SWT, bukanlah disebabkan atas kelebihan atau kebolehan yang ada pada mereka. Berada dalam satu jemaah juga merupakan nikmat Allah bagi insan-insan yang terpilih. Sentiasalah bersikap tawadhuk dan menjaga adab-adab sesama ahli jemaah.

7. Sebagai ahli gerakan Islam, kita mestilah menyakini dengan sepenuhnya akan janji-janji Allah SWT dengan meletakkan sepenuh kepercayaan dan keyakinan bahawa kemenangan Islam pasti akan berlaku jua satu hari nanti. Daulah Islam akan tertegak di muka bumi ini dan Islam akan memerintah dunia kembali. Oleh yang demikian kita seharusnya istiqomah dan bersikap sabar dalam melaksanakan setiap gerak kerja jemaah bagi membantu tertegaknya Islam di muka bumi ini. Janganlah kita cepat melatah dan bersikap terburu-buru dalam mencapai kemenangan Islam sehingga membawa kemudharatan kepada jemaah sendiri.

8. Setelah mentadabbur kisah kepimpinanan Zul Qarnain, kita mestilah menyedari dan menginsafi bahawa kuasa yang terbesar adalah Allah SWT. Tidak ada satu pun di muka bumi ini yang dapat mengatasi kekuasaanNya. Semuanya tidak akan kekal melainkan Allah SWT. Justeru itu sewajibnya kita menyandarkan segala kekuatan, kekuasaaan, kekayaan, pencapaian dan kelebihan yang kita perolehi sebagai pinjaman dan pemberian ni’mat daripada Allah SWT, bukannya atas usaha kita semata-mata. Tanpa izin dan rahmat daripada Allah SWT kita tidak akan mampu berkuasa dan mencapainya.

9. Kita hendaklah sentiasa menjaga keimanan dan keIslaman kita sepertimana yang dituntut oleh Allah SWT Sekiranya Ya’juj dan Ma’juj muncul dalam keadaan kita tidak beriman, maka tidak ada gunanya. Sebaliknya jika kita beriman dan ditakdirkan kita mati dibunuh oleh Ya’juj dan Ma’juj, maka kita tetap akan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir, Tafsir Surah Al-Kahfi Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dll

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
23 Mac 2018 / 4 Rejab 1439