Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Siri 30/2018

1050
SHARE

SURAH AL-KAHFI: MUQADDIMAH KISAH ZUL QARNAIN: 83-84

Firman Allah SWT serta terjemahannya:

وَيَسۡـَٔلُونَكَ عَن ذِى ٱلۡقَرۡنَيۡنِ‌ۖ قُلۡ سَأَتۡلُواْ عَلَيۡكُم مِّنۡهُ ذِڪۡرًا (٨٣)

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya.

إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ ۥ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَءَاتَيۡنَـٰهُ مِن كُلِّ شَىۡءٍ۬ سَبَبً۬ا (٨٤)

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.

Tafsir Ringkas:

1. Ayat-ayat ini diturunkan oleh Allah SWT bagi menjawab pertanyaan puak Musyrikin Mekah kepada Rasulullah SAW (berdasarkan persoalan yang dicadangkan oleh pendeta Yahudi) dengan tujuan untuk menguji baginda. Setelah bertanyakan tentang Ashabul Kahfi pada awal-awal surah ini, mereka bertanyakan pula tentang perihal Zul Qarnain.

2. Zul Qarnain adalah seorang raja Rom dan Parsi. Beliau diberi nama Zul Qarnain kerana berjaya menguasai bahagian timur dan barat, iaitu tempat matahari terbit dan terbenam. Ada juga yang menyatakan bahawa nama itu diberikan kerana di kepalanya terdapat sesuatu yang menyerupai dua tanduk.

3. Allah telah memberikan kepada Zul Qarnain itu kekuasaan yang teguh di muka bumi, yang tidak dapat digoyangkan lagi oleh musuh-musuhnya, yang boleh juga diertikan secara moden telah mempunyai pemerintahan yang stabil.

4. Allah telah membukakan baginya pintu-pintu kekayaan. Ke mana saja dia melangkahkan kaki ataupun mengatur penaklukan, semuanya dibukakan jalan.

5. Ini menandakan bahawa Zul Qarnain adalah seorang raja atau penguasa yang cerdik dan mempunyai sifat-sifat kepahlawanan yang lain.

 Pengajaran:

1) Kita hendaklah meletakkan dalam hati bahawasanya segala kekuasaan untuk memerintah bumi (kuasa besar), ilmu pengetahuan, prasarana untuk menjayakan misi dan ilham untuk menyempurnakan sesuatu misi adalah datang daripada Allah semata-mata.

2) Sentiasa mengingatkan kepada diri sendiri, tiada yang mustahil dengan izin Allah. Allah berkuasa membukakan jalan kepada mana-mana manusia untuk memerintah bumi jika Dia mengkehendakinya.

3) Umat Islam mestilah sentiasa menjadi agen perubahan kepada kebaikan, sesuai dengan sifat kepahlawanan ZulQarnain yang disebut dalam surah ini.

4. Hayati makna al-fathu dalam Islam iaitu pembukaan. Islam bersifat menakluki, menguasai dan mempengaruhi (tetapi bukan menjajah) serta membuka lembaran baru dan kemajuan menurut acuan agama dalam sejarah hidup kemanusiaan.

Rujukan:
Tafsir Al-Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
23 Februari 2018 / 7 Jamadil Akhir 1439