Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Siri 19/2017

1106
SHARE

SURAH AL-KAHFI: GAMBARAN TENTANG IBLIS MUSUH YANG NYATA: 50-53

Firman Allah SWT serta terjemahannya:

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآَدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلًا (٥٠)

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka ia mendurhakai perintah Rabbnya. Patutkah kamu mengambil dia dan keturunan-keturunannya sebagai pemimpin selain daripada-Ku, sedang mereka adalah musuhmu. Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (Allah) bagi orang-orang yang zalim

مَا أَشْهَدْتُهُمْ خَلْقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلَا خَلْقَ أَنْفُسِهِمْ وَمَا كُنْتُ مُتَّخِذَ الْمُضِلِّينَ عَضُدًا (٥١)

Aku tidak menghadirkan mereka (iblis dan anak cucunya) untuk menyaksikan penciptaan langit dan bumi dan tidak (pula) penciptaan diri mereka sendiri; dan tidaklah Aku mengambil orang-orang yang menyesatkan itu sebagai penolong.

وَيَوْمَ يَقُولُ نَادُوا شُرَكَائِيَ الَّذِينَ زَعَمْتُمْ فَدَعَوْهُمْ فَلَمْ يَسْتَجِيبُوا لَهُمْ وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمْ مَوْبِقًا (٥٢)

Dan ingatlah hari ketika itu Dia berfirman: “Panggilah olehmu sekalian sekutu-sekutu-Ku yang kamu katakan itu”. Mereka lalu memanggilnya tetapi sekutu-sekutu itu tidak membalas seruan mereka dan Kami adakan untuk mereka tempat kebinasaan (neraka).

وَرَأَى الْمُجْرِمُونَ النَّارَ فَظَنُّوا أَنَّهُمْ مُوَاقِعُوهَا وَلَمْ يَجِدُوا عَنْهَا مَصْرِفًا (٥٣)

Dan orang-orang berdosa melihat mereka, maka mereka meyakini, bahwa mereka akan jatuh ke dalamnya dan mereka tidak menemukan tempat berpaling daripadanya.

Tafsir ringkas:

1. Allah menzahirkan keengkaran iblis pada perintah Allah supaya bersujud kepada Adam dengan alasan dia (iblis) lebih mulia dari Nabi Adam.

2. Allah juga menempelak golongan yang mengambil syaitan, keturunannya dan apa sahaja jelmaan dan perwatakan syaitan sebagai panduan dan pemimpin dalam kehidupan. Malahan Allah sendiri tidak menghadirkan iblis dalam penyaksian penciptaan langit dan bumi kerana sifat dan sikap iblis yang sesat lagi menyesatkan.

3. Tempat kembali iblis telah tersedia di neraka Allah sebagai balasan. Iblis mendakwa bahawa mereka mempunyai sekutu-sekutu selain Allah. Ketika Allah mencabar mereka agar menghadirkan sekutu-sekutu tersebut, tiada yang hadir. Sesungguhnya mereka (iblis) adalah lemah tidak mampu dan menyahut cabaran Allah.

4. Iblis merupakan musuh anak Adam yang nyata dan berterusan melaksanakan tugas mereka membisik-bisikkan kejahatan hingga hari kiamat.

Pengajaran:

1) Sentiasalah berwaspada dengan bisikan Iblis yang sememangnya tidak pernah berputus asa mengajak manusia berbuat kejahatan.

2) Orang beriman perlu meneliti diri sendiri dan keluarga, agar tidak menjadikan syaitan/iblis sebagai pemimpin dalam kehidupan kerana Allah sangat mencela bagi mereka yang memilih Iblis sebagai ikutan.

3) Perbanyakan tadabbur al-Quran dan menghadiri majlis-majlis ilmu bagi mengenali syaitan, watak-watak, jelmaan-jelmaannya dalam pelbagai bentuk samada berupa amalan, pemikiran atau pergerakan.

4) Berusahalah beramal dan sentiasa meningkatkan upaya dan mencari kaedah bagaimana untuk membenteng diri daripada termakan hasutan syaitan yang setiap inci sentiasa dekat dengan kita. Antaranya dengan memohon perlindungan kepada Allah dari syaitan yang direjam dan beramal dengan doa-doa dari al-Quran seperti ayat 97-98 surah Al-Mukminun :

رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ (٩٧) وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحْضُرُونِ (٩٨)

Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan, “Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku”.

5) Pilihlah kehidupan berjemaah dan bersahabat dengan orang-orang soleh. Mudahan mereka dapat membantu kita dari terpedaya dengan tipudaya syaitan yang melata di sekeliling kita dalam pelbagai rupa dan bentuk.

6) Orang-orang berada di jalan Allah Swt tidak patut meminta bantuan dari orang-orang yang jelas engkar dengan perintah Allah dan bersekongkol dengan golongan yang ada watak syaitan kerana orang yang beriman sentiasa menjaga jatidiri mereka dan pergantungan mereka hanya pada Allah SWT sahaja.

Rujukan:
Tafsir Al-Munir
Tasfir Fi-Zilalil Quran

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
8 Disember 2017 / 19 Rabiul ‘Awwal 1439