Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Siri 17/2017

1433
SHARE

SURAH AL-KAHFI: PERUMPAMAAN KEHIDUPAN DI DI DUNIA: 45-46

Firman Allah SWT serta terjemahannya:

وَاضْرِبْ لَهُمْ مَثَلَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا كَمَاءٍ أَنْزَلْنَاهُ مِنَ السَّمَاءِ فَاخْتَلَطَ بِهِ نَبَاتُ الأرْضِ فَأَصْبَحَ هَشِيمًا تَذْرُوهُ الرِّيَاحُ وَكَانَ اللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ مُقْتَدِرًا (٤٥)

Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia), kehidupan dunia sebagai air hujan yang Kami turunkan dari langit, Maka menjadi subur karenanya tumbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin. Dan adalah Allah, Maha Kuasa atas segala sesuatu.

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلا (٤٦)

Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.

? Tafsir ringkas:

1. Ayat ini membentangkan satu tamsilan (perumpamaan) tentang kehidupan di dunia yang bersifat sementara ini yang mana dunia ini diumpamakan seperti rumput yang ditimpa sedikit air hujan akan tumbuh dengan subur dan kering serta musnah ketika diterpa sedikit angin panas. Pada musim bunga, di mana-mana akan terbentang pemandangan yang menghijau, namun apabila tiba musim gugur dan sejuk, pohon dan tumbuhan layu serta kering dan dedaunannya pun berguguran. Begitulah juga dengan dunia ini yang penuh dengan nikmat untuk bersenang-lenang tetapi akhirnya ia akan luput dan lenyap juga bahkan adakalanya memberi mudharat dan keburukan pada penghuni dan pemiliknya malah yang pasti semuanya akan berakhir dengan kematian.

2. Antara nikmat dunia yang disebut oleh ayat ini adalah harta dan anak-anak. Namun ia hanyalah semata-mata perhiasan dunia jika tidak diarahkan kepada jalan yang diredhai Allah. Hanya iman dan amal soleh yang akan dibawa kembali kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa untuk memberi nikmat kepada hambaNya dan menarik kembali pada bila-bila masa sahajanya.

3. Perumpamaan ini mengisyaratkan agar hamba-hamba Allah sekalian bersikap zuhud dan tidak terlalu mengejar dunia semata-mata bahkan dianjurkan untuk menghadap kepada-Nya dan menyempatkan waktu untuk beribadah kerana ia adalah lebih baik daripada kesibukan mencari kekayaan serta berlebihan mengejar dunia.

? Pengajaran:

1. Janganlah kita menyangka dengan hidup bersenang-lenang di dunia, kita akan kekal seperti itu. Tetapi ingatlah yang ajal akan menjemput kita bila-bila masa sahaja.

2. Kita mestilah sentiasa meningkatkan amal ibadah dan membuat persediaan untuk kembali ke negara yang abadi (akhirat).

3. Amal kebajikan yang terus menerus di sini mencakupi semua ketaatan yang wajib mahupun yang sunat; baik terkait dengan hak Allah mahupun hak manusia. Misalnya solat, zakat, puasa, sedekah, haji, umrah, zikir, membaca Al Quran, mencari ilmu yang bermanfaat, amar ma’ruf dan nahi munkar, menjaga silaturrahim, berbakti kepada orang tua dan memenuhi hak orang lain kerana pahalanya akan kekal dan berlipat ganda.

4. Pahala, kebaikan dan manfaat daripada amal soleh sahaja yang akan membantu kita di akhirat kelak.

5. Kita juga digalakkan untuk melazimi zikir seperti takbir, tahlil, tasbih dan tahmid, serta _laa haula wa laa quwwata illaa billaah_.” (Demikianlah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad).

6. Sebagai orang Islam dan pendakwah, kita seharusnya sentiasa meningkatkan kualiti diri di hadapan Allah dan berwaspada pada setiap laranganNya.

7. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh meninggalkan kehidupan di dunia dan fokus kepada akhirat semata-mata, tetapi haruslah diseimbangkan. Sepertimana kata pepatah, “Bekerjalah seolah-olah kamu akan hidup selamanya dan beribadahlah seolah-olah kamu akan mati keesokan harinya.”

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
Tarikh: 24.11.2017 / 5 Rabiulawal 1439H