Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Siri 16/2017

832
SHARE

SURAH AL-KAHFI: PERINGATAN YANG KERAS BUAT PEKEBUN YANG DEGIL: 40-44

Firman Allah SWT serta terjemahannya:

فَعَسَىٰ رَبِّي أَن يُؤْتِيَنِ خَيْرًا مِّن جَنَّتِكَ وَيُرْسِلَ عَلَيْهَا حُسْبَانًا مِّنَ السَّمَاءِ فَتُصْبِحَ صَعِيدًا زَلَقًا (٤٠)
Maka mudah-mudahan Tuhanku menganugerahkan kepadaku sesuatu yang lebih baik daripada kebunmu (ini); lalu Dia mengirim kepadanya sesuatu perhitungan dari langit, sehingga menjadilah kebun itu tanah gondol dan tandus

أَوْ يُصْبِحَ مَاؤُهَا غَوْرًا فَلَن تَسْتَطِيعَ لَهُ طَلَبًا (٤١)
Atau airnya surut kering, maka tidaklah engkau sanggup mencarinya.

وَأُحِيطَ بِثَمَرِهِ فَأَصْبَحَ يُقَلِّبُ كَفَّيْهِ عَلَىٰ مَا أَنفَقَ فِيهَا وَهِيَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا وَيَقُولُ يَا لَيْتَنِي لَمْ أُشْرِكْ بِرَبِّي أَحَدًا (٤٢)
Dan dibinasakanlah kebunnya, maka jadilah dia orang yang membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) atas segala yang telah dibelanjakan padanya (kebun), sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; dan dia pun berkata: “Wahai, alangkah baik kiranya tidak aku sekutukan sesuatu dengan Tuhanku”

وَلَمْ تَكُن لَّهُ فِئَةٌ يَنصُرُونَهُ مِن دُونِ اللَّهِ وَمَا كَانَ مُنتَصِرًا. (٤٣)
Dan tidak ada baginya satu golongan pun yang akan menolongnya, selain dari Allah; dan tidaklah dapat dia membela diri.

هُنَالِكَ الْوَلَايَةُ لِلَّهِ الْحَقِّ هُوَ خَيْرٌ ثَوَابًا وَخَيْرٌ عُقْبًا. (٤٤)
Di sana, kekuasaan itu hanya bagi Allah Yang Maha Benar! Dia lah (yang menyediakan) sebaik-baik pahala, dan sebaik-baik balasan.

Tafsir ringkas:
1. Pada siri yang lepas, diceritakan bahawa pekebun mukmin telah menasihati dengan baik pekebun yang kafir itu namun dia tetap kufur, ingkar nikmat, dan bersikap sombong. Akhirnya pada siri ini, dalam ayat 40, si Mukmin memberi peringatan yang cukup keras bahawa Allah akan memberinya kebun yang lebih baik di akhirat dan membinasakan kebun milik si Kufur dengan harapan ia beriman dan bertaubat kepadaNya.
2. Allah swt lalu mengabulkan doa Si Mukmin dan membinasakan kebun milik pekebun yang kufur nikmat. Kebun yang subur itu benar-benar musnah, sesuatu yang amat tidak dijangka, sedang ia dalam perhitungan Allah. Pekebun yang kufur itu seperti orang kehilangan segala harta pertaruhannya malah para pengawalnya tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan harta serta kebunnya. Dia hanya mampu  menyesali kekufuran yang telah dilakukannya dan sedar akan kesalahannya; iaitu mempersekutukan Tuhan dengan mengagungkan nikmat yang ada padanya. Sedang dia lupa akan Allah Yang Memberi Nikmat.
3. Tidak ada kaum-keluarga, sahabat-handai, pekerja atau penguasa yang dapat atau mahu menolongnya. Hanya Allah yang Maha Pengampun dapat menyelamatkannya. Apabila berhadapan dengan Allah, kita hanya mampu mengaku salah dan memohon ampun. Pada saat begitulah, baru manusia tersedar akan kekuasaan Allah.
4. Setelah Allah menunjukkan akibat bagi manusia yang lalai dan lupa pada Tuhan, akhirnya menerusi ayat 44, Allah memperlihatkan kasih-sayangNya bagi orang-orang yang menyesal dan insaf; dalam kesempatan yang masih ada, sekiranya bertaubat, dosa akan diampuni serta pahala dan ganjaran mulia disediakan.

Pengajaran:
1. Marilah kita menjadi hamba yang selalu berdoa dan yakin dengan janji Allah.
2. Boleh mendoakan orang jahat agar Allah memberi pembalasan yang setimpal dengan kejahatannya dengan tujuan untuk menyekat kejahatan mereka.
3. Berusahalah untuk tidak menjadi seperti kebanyakan manusia yang lalai daripada mengingati akan perhitungan Tuhan.
4. Seseorang yang berasa dirinya hebat, dia sebenarnya menzalimi dirinya sendiri. Padahal hakikatnya dia hanya hamba kepada Allah, Tuhan yang Maha Berkuasa.
5. Kita mestilah tidak berputus asa dengan rahmat Allah.
6. Allah menyukai orang berdosa yang bertaubat. Hanya Allah Pemberi ganjaran dan balasan yang paling baik.

Rujukan: Tafsir Al Azhar

Disusun oleh: Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak

Tarikh: 17.11.2017 / 28 Safar 1439H