Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Siri 06/2017

1078
SHARE

Tadabbur Al Quran
Siri 06/2017

SURAH AL KAHFI: AYAT 16: ASHAB AL-KAHFI MENCARI PERLINDUNGAN DIRI DAN IMAN DI GUA KAHFI

Firman Allah serta terjemahannya:

 وَإِذِ اعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلا اللَّهَ فَأْوُوا إِلَى الْكَهْفِ يَنْشُرْ لَكُمْ رَبُّكُمْ مِنْ رَحْمَتِهِ وَيُهَيِّئْ لَكُمْ مِنْ أَمْرِكُمْ مِرفَقًا (١٦)

Dan apabila kamu meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah selain Allah, maka carilah tempat berlindung ke dalam gua itu, nescaya Tuhanmu akan melimpahkan sebahagian rahmat-Nya kepadamu dan menyediakan sesuatu yang berguna bagimu dalam urusan kamu.

Tafsir ringkas:

1.Ayat di atas menceritakan tentang pemuda Al-Kahfi yang melarikan diri daripada kaumnya dan berlindung di dalam sebuah gua. Ketika kaum mereka berasa kehilangan, raja mereka mencari-cari pemuda Al-Kahfi itu. Menurut suatu riwayat, raja itu tidak berjaya mencari pemuda Al-Kahfi kerana Allah menjadikan mata raja itu tidak dapat melihat mereka.

2. Hal ini berlaku sebagaimana kisah Nabi Muhammad s.a.w. dan Abu Bakar As-Siddiq r.a. semasa bersembunyi di dalam gua Thur. Orang-orang musyrik Quraisy datang mencari mereka berdua, tetapi para musyrikin Quraisy tidak berjaya menemui Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar r.a., walaupun mereka melalui jalan yang sama.

3. Di dalam gua itu, ketika melihat kesedihan Abu Bakar r.a. Nabi s.a.w. bersabda, “Ya Rasulullah, seandainya salah seorang daripada mereka ada yang melihat ke tempat bawah kakinya, nescaya dia akan melihat kita.” Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, “Wahai Abu Bakar, apakah yang membimbangkan kamu mengenai kita berdua, sedangkan yang ketiganya adalah Allah?”

4. Dan Allah berfirman dalam surah At-Taubah, ayat 40, “Jika kamu tidak menolongnya (Muhammad), maka sesungguhnya Allah sudah menolongnya, iaitu ketika orang-orang kafir (kaum musyrikin Makkah) mengeluarkannya (dari Makkah) sedang salah seorang daripada dua orang ketika keduanya berada dalam gua, pada waktu dia berkata kepada sahabatnya, “Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada [Muhammad] dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah, dan kalimah Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Pengajaran:

1. Jika seseorang memisahkan diri dan menjauh daripada masyarakat demi menjaga agamanya dan berlindung ke tempat tertentu, ia pasti diliputi rahmat Allah s.w.t. Ini sebagaimana dialami oleh orang-orang Mukmin penghuni gua tatkala mereka lari dan mengasingkan diri daripada masyarakat hingga mereka tidur, lalu 300 tahun kemudian mereka bangun di tengah masyarakat yang sudah beriman.

2. Allah akan merahmati orang orang yang istiqamah menjaga dan berjuang menegakkan agama-Nya.

3. Orang beriman mestilah menjauhi perkara-perkara yang sia-sia dan melalaikan termasuk dalam pemikiran, penulisan, pembacaan dan lain-lain.

Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
Tarikh: 8.9.2017 / 17 Zulhijjah 1438