Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Siri 02/2017

982
SHARE

Tadabbur Al Quran / Siri 02/2017

Surah Al-Kahfi: Ayat 4-5: Al-Quran Pemberi Amaran kepada Penolak Tauhid.

Firman Allah SWT serta terjemahannya:

  • Dan untuk memberi peringatan kepada orang-orang yang berkata, “Allah mengambil seorang anak.”
  • Mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang hal itu, begitu juga nenek moyang mereka. Alangkah jelek kata-kata yang kelu­ar dari mulut mereka; mereka tidak mengatakan (sesuatu) kecua­li dusta.

Tafsir ringkas:

1. Al-Quran memberi peringatan kepada golongan yang menyekutukan Allah SWT dan beriktiqad Allah mempunyai anak.

2. Ibnu Ishaq mengatakan, golongan yang dimaksudkan dalam ayat ke 4 ini ialah orang-orang musyrik Arab. Ini kerana mereka mengatakan, “Kami menyembah malaikat-malaikat, mereka adalah anak-anak perempuan Allah.”

3. Dalam ayat ke-5, Allah SWT membidas kata-kata golongan musyrikin tadi dengan menyatakan bahawa kata-kata mereka itu hanyalah rekaan. Malah mereka mendustai diri mereka sendiri. Pendustaan itu juga dibuat oleh orang-orang yang hidup sebelum mereka.

4. Lafaz ‘kalimatan’ dalam ayat ke 5 dinisbahkan sebagai tamyiz, yang bermaksud ‘Alangkah buruknya kata-kata mereka yang ini’.

5. Menurut qiraat jumhur ulama, sesungguhnya ungkapan ini merujuk pada kecaman terhadap ucapan golongan musyrik tadi, dan apa yang mereka katakan itu adalah pembohongan yang besar.

6. Allah SWT menegaskan bahawa berbohong adalah tabiat biasa bagi golongan musyrik ini.

Pengajaran:

1. Jauhilah perbuatan atau ucapan yang mengandungi unsur-unsur syirik seperti memuja wali atau pemimpin, memohon bantuan daripada orang yang telah mati dan mengangap sesuatu / seseorang setanding dengan Allah.

2. Pelajari ilmu dengan lebih mendalam dengan dalil, bukan menerima sebarang ilmu tanpa usul periksa daripada ustaz-ustaz tanpa dalil daripada Al-Quran dan Hadith.

3. Hendaklah kita memuji Allah melebihi segalanya dan berhati-hati dalam membesarkan atau memuji makhlukNya.

Rujukan: Tafsir Ibn Katsir Online

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
Tarikh: 11.8.2017 / 18 Zulqaedah 1438