Home Berita PAS Melaka

Syukur van dan peralatan berniaga tidak terbakar

146
SHARE

Oleh IBNU JANIE

TANGGA BATU, 21 Sept: Mangsa kebakaran Robiah Saidin, 61, menzahirkan rasa syukur kerana van dan peralatan berniaga beliau terselamat dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan rumahnya di Lorong Haji Manaf, Kampung Tangga Batu Pekan pada awal pagi Selasa.

Beliau yang merupakan pengusaha gerai burger di pasar-pasar malam sekitar Melaka berkata, van dan peralatan berniaga seperti dapur dan tong gas serta bahan-bahan membuat burger berjaya diselamatkan anggota Bomba Dan Penyelamat dalam kejadian tersebut.

Robiah Saidin, 61

“Kalau semua tu terbakar saya terduduk habislah, nak beli van. Selama ni saya mencari (rezeki), saya sedihlah. Alhamdulillah saya bersyukur Allah SWT tak pernah susahkan saya,” ujar beliau.

Ketika kejadian, beliau tinggal di rumah tersebut bersama seorang anak lelakinya kerana seorang lagi anak lelakinya keluar bekerja manakala empat lagi anak perempuannya sudah berkeluarga dan tinggal berasingan.

“Saya terbangun dalam pukul 3.45 pagi saya terbau hangit. Dalam gelap tu saya bangun saya ternampak api menyala di meter elektrik tu. Saya kejut anak saya keluar.

“Lepas tu saya kejut anak-anak buah saya yang tinggal di rumah-rumah sebelah saya ni untuk tolong saya,” katanya menceritakan saat-saat genting yang dilaluinya semasa kejadian tersebut.

Robiah yang juga merupakan seorang ibu tunggal yang telah berpisah dengan suaminya semenjak berusia 42 tahun itu turut menzahirkan rasa syukur kerana banyak pihak yang datang membantu dan memberikan sumbangan pada beliau samada kenalan atau orang ramai selepas berlaku kejadian itu.

Katanya lagi, beliau sudah menetap di rumah tersebut selama lebih 34 tahun yang mana rumah itu beliau bina sendiri hasil daripada titik peluh beliau berniaga selama ini di atas tanah pusaka keluarganya dan kini, akibat kejadian tersebut, rumah itu hampir musnah sepenuhnya.

Menurut Robiah buat masa ini beliau menumpang di rumah seorang jiran yang juga merupakan sahabat baiknya sementara rumahnya itu dibaik pulih.

TYDP PAS Tangga Batu, Rafie Ahmad sedang menyerahkan sumbangan kepada Robiah

Beliau berkata demikian kepada WARM-Berita PAS semasa menerima kunjungan rombongan Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Tangga Batu yang diketuai Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Rafie Ahmad bagi menyampaikan sumbangan, di tapak rumahnya yang terbakar itu, pagi tadi.

Sebelum itu Rafie bersama rombongannya turut menziarahi dan menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan bahan binaan kepada Che Lah @ Mat Sirat Aliman, 66, yang ditimpa musibah apabila warungnya yang terletak di Pantai Puteri dilanda ribut pada Sabtu malam lepas menyebabkan beberapa bahagian daripada struktur kedainya itu musnah.

Warung milik Che Lah @ Mat Sirat Aliman, 66, yang ditimpa ribut

“Alhamdulillah saya dan jawatankuasa yang lain dapat bersama pada pagi ini untuk kita menzahirkan rasa simpati kita pada mangsa-mangsa ini dan insya-Allah saya berharap selepas dari ini kita sama-sama menyumbang untuk mangsa bencana ini.

“Dan insya-Allah PAS Kawasan akan buat tabung. Kita akan buat crowdfunding dan kita bagi tempoh dalam seminggu ni. Kita akan bagi serahan kepada kedua-dua mangsa ini,” ujar beliau.

Beliau turut menyeru ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS serta orang ramai dapat membantu dengan menyumbang ke dalam tabung tersebut.

Turut sama dalam rombongan tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PAS DUN Pantai Kundur, Ramlan Amad dan beberapa orang lagi Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Tangga Batu.

Mereka yang ingin menyumbang boleh mendepositkan sumbangan ke akaun PAS Kawasan Tangga Batu – Bank Islam – Nombor akaun : 04024010019213


Rumah Robiah Saidin yang musnah terbakar


Warung milik Che Lah @ Mat Sirat Aliman yang ditimpa ribut

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH