Home Berita PAS Johor

Surat terbuka untuk wanita Umno : Agama dijunjung parti dikendong

378
SHARE

Surat terbuka untuk wanita Umno : Agama dijunjung parti dikendong

Penerapan nilai universal Al Quran dan hadis adalah faktor penentu keselamatan umat manusia di bumi  sampai akhirat bahkan, nilai tersebut pada hakikatnya banyak diamalkan oleh kebanyakan budaya masyarakat sejagat yang difahami sebagai nilai yang baik dalam sesebuah masyarakat berperadaban, seperti mana yang telah dipraktikkan oleh Rasulullah SAW dalam negara Islam pertama , ketika  pembukaan Kota Mekah yang disebut Piagam Madinah.

Namun, bagaimana pula kita memastikan yang contoh dan  kebaikan itu mampu dipaparkan supaya kita sedar yang baik itu bukannya mitos mahupun lagenda?

Oleh yang demikian, sistem pengurusan parti dan pentadbiran negara yang berpaksikan ajaran Al Quran dengan penghuraian sunnah Rasulullah SAW melalui integrasi ilmu -ilmu saintifik moden akan melahirkan satu sistem urus tadbir yang cemerlang, sempurna dan berkualiti dan bukannya bersifat atas  kepentingan individu.

Dalam menerajui parti, kami jelas dengan tanggungjawab kami, kita ini hamba Allah, hidup untuk Allah, dan kita juga khalifah Allah, namun malangnya pada pandangan sesetengah pihak tertentu, mereka beranggapan hidup ini hanya untuk keperluan kebendaan semata-mata. Walaupun dinafikannya, tapi tindakan dan perlakuan adalah sebaliknya dan inilah pandangan sekular.

Ideologi sekular tidak akan  sampai ke akhirat sekalipun diselitkan dengan istilah -istilah yang kelihatan islamik. Contohnya, “ Malaysia Madani” , “Menu Rahmah “ dan sebagainya. Ia Umpama menaiki bas dari Segamat Ke Johor Bahru tapi tapi berhenti setakat Batu Pahat saja. Begitulah , yang nak dimaksudkan di sini, yang di bawa ke akhirat hanyalah Islam sahaja.

Mesej Parti kami sentiasa konsisten, iaitu  apabila Islam didahulukan, politik dan parti itu akan menurut dari belakang. Apabila Islam diangkat, Insya Allah PAS yang memperjuangkan Islam akan naik sekali.

Mesej mendahulukan Islam ini mungkin kedengaran biasa. Namun, dalam negara yang mana semangat kebangsaan dan perkauman itu masih dominan, di mana warna kulit mampu melampaui nilai nilai lain , apa yang dibawa oleh PAS melakar warna baru dalam kanvas kehidupan rakyat Malaysia. Bahkan, dalam PAS juga  ada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang mengumpulkan ahli dan penyokong yang beragama lain. 

Ini kerana agama lain juga percaya parti yang mengikut telunjuk agama adalah parti yang baik, tidak mudah dikaburi wang dan pangkat.

Semangat cintakan parti Umno itu tidak salah,  namun sayangnya semangat ini menjadi melampau dan mudah dimanipulasi. Lihatlah sekarang, kebobrokan dan isu dalaman parti yang puncanya dari presiden parti itu sendiri menjadikan pengikut di bawah dipaksa mengikut telunjuk presiden yang gilakan kuasa. 

Jadi di sini wujud polemik terlalu asyik berpolitik sehingga meninggalkan dakwah. PAS tahu benar di mana ketegasan Islam dan di mana Islam cukup meraikan kepelbagian manusia. Persoalannya di sini, sanggupkah ahli Umno yang lain dipandang sebagai buah catur saja dalam permainan politik presiden nya?.

Mampukah kalian meneruskan legasi ini? melahirkan manusia yang punya integriti dan tidak hanyut dengan kemewahan dunia? ya, Kemampuan memecahkan tembok stereotaip ini bukanlah mudah namun tidak mustahil.

Salah seorang presiden kami pernah berkata, dalam politik pun ada politik halal dan politik haram. Masyarakat perlu dididik agar berasa jijik untuk menyentuh politik yang haram sebagaimana kita jijik untuk menyentuh makanan yang haram.

Saya yakin dan pasti orang Melayu khususnya terdidik agar tidak memakan haiwan tertentu yang dianggap haram mutlak di sisi Islam. Ia dianggap jijik dan sangat hina. Namun sayangnya dalam masa yang sama, rasa jijik terhadap politik haram tidak setinggi rasa jijik terhadap makanan haram.

Jika roboh kota Melaka,

Papan di Jawa kita dirikan,

Jika sungguh bagai dikata,

Bersama PAS kebenaran kita tegakkan.

ZAKIAH BINTI TUKIRIN

Ketua,

Dewan Muslimat PAS Negeri Johor