Home Tadabbur Al-Quran

Surah Al Baqarah: Ayat: 185: Ramadhan Bulan Puasa dan Bulan Al Quran

650 views
SHARE

📓📓 Tadabbur Al Quran 📓📓

Surah Al Baqarah: Ayat: 185: Ramadhan Bulan Puasa dan Bulan Al Quran

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ – ١٨٥

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

📖 *Tafsir ringkas:*

1. Ayat ini menjelaskan tentang lafaz أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ (beberapa hari yang ditentukan) yang disebut dalam ayat sebelum ini. Jadi, hari-hari yang dimaksudkan adalah sebulan Ramadhan iaitu puasa yang diwajibkan itu ialah pada hari-hari dalam bulan Ramadhan. Ia adalah bulan kesembilan dari kalender Qamariah. Iaitu satu-satunya nama bulan yang disebut dalam Quran. Bulan-bulan lain tidak disebut. Itulah satu keistimewaan bulan Ramadhan ini.

2. Seterusnya Allah SWT menjelaskan bahawa bulan Ramadhan itu jugalah turunnya Al-Quran untuk menjadi petunjuk kepada semua manusia dengan memaparkan dalil-dalil yang nyata dan menerangkan mana yang hak dan mana yang batil.

3. Untuk mengetahui awal dan akhir bulan Ramadhan, Rasulullah SAW telah menjelaskan dalam hadithnya;

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ، فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ (وفي رواية: فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ) فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ، ( وفي رواية مسلم: فَاقْدِرُوا لَهُ ثَلَاثِينَ)

Berpuasalah kamu kerana melihat bulan (Ramadhan) dan berbukalah kamu kerana melihat bulan (Syawal). Apabila tertutup bagi kamu (dalam satu riwayat mengatakan: Apabila tertutup bagi kamu disebabkan cuaca yang buruk), maka sempurnakanlah bulan Syaa’ban tiga puluh hari (dan dalam satu riwayat Muslim “takdirkanlah” atau hitunglah bulan Syaa’ban tiga puluh hari). (HR Bukhari dan Muslim)

4. Seterusnya Allah mengukuhkan keterangan ayat 184, bahawa walaupun berpuasa diwajibkan, tetapi diberi kelonggaran bagi orang-orang yang sakit dan musafir untuk tidak berpuasa pada bulan Ramadhan dan menggantikan pada hari-hari yang lain.

5. Kemudian pada penutup ayat 185 ini Allah menekankan supaya disempurnakan bilangan puasa itu dan memerintahkan agar kita semua bertakbir serta bersyukur kepada Allah atas segala petunjuk-petunjuk yang diberikan.

🎀 Pengajaran

1. Kedatangan Ramadhan sepatutnya bukan sahaja mengingatkan kita tentang kewajipan berpuasa sahaja, tetapi sewajarnya kita menyedari bahawa ia adalah bulan Al-Quran dan berpuasa dalam bulan ini sebenarnya untuk meraikan kemuliaannya dan keagungannya.

2. Ramadhan adalah bulan untuk kita melipatgandakan usaha untuk membaca, mempelajari dan menekuni Al-Quran. Perbanyakkanlah membaca Al Quran dan mempelajari ilmu tafsir sebagai salah satu cara kita mentadabbur ayat-ayatnya. Gunakan juga peluang ini untuk kita mengkhatam satu al-Quran.

3. Al- Quran itu adalah untuk ‘semua manusia’ (هُدًى لِلنَّاس)
maka ianya menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan Al-Quran kepada mereka. Hendaklah kita berdakwah kepada orang bukan Islam dan menyampaikan ayat-ayat Allah ini kepada mereka. Inilah wadah dakwah yang patut digunakan.

4. Gunakan formula yang ada dalam al-Quran iaitu al- Furqan yang bermaksud membezakan mana yang haq dan mana yang batil. Justeru itulah umat Islam mesti mendalami al- Quran agar mengetahui mana yang salah dan mana yang benar. Dengan kefahaman yang penuh penghayatan diharapkan kita dapat menggunakan formula itu untuk menilai samada amalan atau sesuatu fahaman itu betul atau salah.

5. Hendak kita menyempurnakan ibadat puasa itu selama sebulan. Sempurna bermaksud bukan hanya menahan diri dari lapar dan dahaga tapi dari perkara-perkara dosa dan perkara-perkara lagha yang lain – perkara yang sia-sia. Jauhkan diri dari buat dosa-dosa lain dan jauhkan diri dari melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

6. Penuhkan Ramadhan dengan berbuat amal ibadat. Jangan jadikan Ramadhan ini sebagai ‘Bulan Pesta Makanan’. Amat menyedihkan apabila segolongan umat Islam lebih mementingkan persiapan juadah berbuka. Mereka menahan diri daripada makan sepanjang siang, tapi pada waktu malam mereka ‘membalas dendam’ dengan dengan melayan nafsu makan sahaja. Ramai orang membeli pelbagai juadah yang dijual di bazar Ramadhan. Akhirnya berlaku pembaziran kerana membeli ketika mereka sedang dalam keadaan lapar.

7. Setelah selesai menjalani ‘latihan’ dalam bulan Ramadhan, maka kita akan raikan kejayaan kita itu dengan berhari raya dengan bertakbir. Bertakbir bukan dengan mulut sahaja tetapi kita membesarkan Allah dengan amal kita sehingga kita merasa kerdil di hadapan Allah dengan meneruskan pengabdian kita kepadaNya sepenuh ketaatan.

📚 Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
3 Mei 2019 / 27 Syaa’ban 1440