KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat
5 ZULKAEDAH 1442 l 16 JUN 2021
SUHAKAM MESTI BATALKAN KAJIAN PENGIKTIRAFAN JANTINA KETIGA
1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mendesak pihak SUHAKAM untuk membatalkan penyelidikan yang bertajuk “Feasibility of Having Legislation on The Recognition of a Third Gender in Malaysia” (Kelayakan Memiliki Perundangan mengenai Pengiktirafan Jantina Ketiga di Malaysia) seperti yang dipromosikan sendiri oleh SUHAKAM di laman media sosial FB : https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10158496247268212&id=140458708211
2. Kajian yang bias kepada keputusan bagi mengeluarkan satu cadangan pengiktirafan jantina ketiga di Malaysia tersebut jelas tidak boleh diterima sekalipun jika ia berbentuk cadangan kerana secara terang-terangan bercanggah dengan nilai agama Islam, fitrah manusia dan juga perundangan serta Perlembagaan.
3. Pihak SUHAKAM tidak perlu mengikut budaya dan nilai Barat yang menerima kelompok jantina ketiga ini dari sudut perundangan di negara mereka. Ini kerana Malaysia mempunyai pertimbangan yang tersendiri berdasarkan identiti negara kita yang meletakkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan menerusi Perkara 3 (1).
4. Sikap dan tindakan kita terhadap kelompok jantina ketiga ini perlulah jelas dan tegas. Kita tidak perlu mengiktiraf kelompok ini dalam kerangka dan lunas perundangan negara. Sikap kita adalah mencegah dari terus berlaku dan dalam masa yang sama merawat ke atas mereka yang telah terjerebak ke dalam konflik jantian ketiga ini untuk kembali ke pangkal jalan.
5. Dalam Islam, golongan ini merupakan golongan terlaknat kerana mengubah ciptaan fitrah manusia sama ada mengubah perasaan dengan menyerupai sehingga berlaku hubungan songsang (gay dan lesbian) serta pertukaran jantina (transgender). Ibn ‘Abbas meriwayatkan bahawa sabda Baginda SAW:
لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ
Maksudnya:
“Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.” – Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan al-Tirmizi
6. Dalam konteks fatwa di negara Malaysia juga jelas terhadap pengharaman mengenai tasyabbuh iaitu penyerupaan lelaki dan perempuan beserta penggubahan ciptaan. Ini dapat dilihat pada rekod fatwa atau muzakarah berikut sama ada di peringkat Kebangsaan atau negeri yang ada menyentuh perbincangan kelompok jantina ketiga ini dan juga perkara yang terkait dengannya seperti mak nyah, pengkid dan lain-lain :
– Persidangan Majlis Ulama Kelantan pada 18 Oktober 1975
– Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada April 1982
– Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989
– Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor yang bersidang pada 15 Jun 1993
– Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 bertarikh 21 hingga 23 November 2006
– Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga pada Oktober 2008
– Fatwa yang diwartakan di negeri Melaka dan Kedah juga mengguna pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 bertarikh 22 hingga 24 Oktober 2008
– Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 18 Mac 2009
– Fatwa yang diwartakan di Perak pada Jun 2010
– Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada5 Zulhijjah 1429H bersamaan 3 Disember 2008M
7. Membiarkan kelompok jantina ketiga ini berterusan dalam kelakuan songsang mereka yang jelas menyanggahi agama dan fitrah adalah satu kerosakan dan menzalimi diri sendiri yang mesti dibendung, dipulih dan dicegah. Apa yang perlu diambil tindakan sewajarnya ialah :
i. Mengambil tindakan ke atas mana-mana entiti yang bertindak dalam menyokong dan menaja kelompok jantina ketiga.
ii. Tidak memberikan keizinan dan permit pada mana-mana pengiklanan, percetakan dan promosi yang cenderung ke arah komersial kelakuan kelompok jantina ketiga ini agar tidak menjadi normalisasi yang membawa pengaruh buruk kepada masyarakat.
8. DUPP sekali lagi memberikan peringatan agar jangan ada mana-mana pihak yang cuba menambahkan lagi bala dengan melakukan sesuatu yang jelas mengundang kemurkaan Allah terutama di saat negara sedang bergelut berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan rakyat pula sedang memikul bebanan ekonomi dalam meneruskan kelangsungan kehidupan seharian.
Ulamak Perteguh Muafakat
Islam Memperkukuh Perpaduan
YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat,
Ahli Parlimen (Pasir Puteh)