Home Dewan Ulamak PAS Pusat

SUGARBOOK Gudang Maksiat : Sekat, Cegah Dan Rawat

590
SHARE

KENYATAAN MEDIA

Dewan Ulamak PAS Pusat

3 REJAB 1442  l  15 FEBRUARI 2021

SUGARBOOK GUDANG MAKSIAT : SEKAT, CEGAH DAN RAWAT

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa pihak kementerian yang terlibat untuk mengambil tindakan serius dengan segera terhadap isu yang mengejutkan negara sehari dua ini iaitu laman web Sugarbook yang tular mendedahkan rekod angka kalangan para pelajar pengajian tinggi yang terlibat sebagai Sugar Baby.

2. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia digesa untuk mengenakan sekatan penuh ke atas laman web tersebut dan seumpamanya yang berunsurkan seks pelacuran, dari diakses oleh rakyat Malaysia. Sekatan ini perlu segera dilakukan kerana dibimbangi dengan isu yang hangat ini menjadikan ia “pengiklanan jahat” bagi laman web Sugarbook terus mendapat perhatian ramai yang akhirnya masyarakat tertanya-tanya lantas mencuba laman web tersebut.

3. Ini dinamakan sebagai “guerilla marketing” di mana laman web tersebut mendapat promosi percuma apabila banyak pihak memperkatakan mengenainya di media sosial. Akhirnya yang tidak tahu menjadi tahu, dan yang sudah mengetahui, tertanya-tanya dan ingin mencuba. Kewajaran untuk terus menyekat laman web ini dari diakses adalah sebagai langkah pencegahan dan dalam masa yang sama, tindakan lanjut perlu diambil iaitu siasatan ke atas dalang pemilik laman web tersebut.

4. Kementerian Pengajian Tinggi juga wajar mengambil tindakan pantas dengan kerjasama Intitusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang disenaraikan tersebut untuk menyelidik rekod-rekod angka pendedahan tersebut. Sama ada benar atau tidak, ia mesti diambil langkah bagi membersihkan imej intitusi pengajian tinggi  sebagai tempat pengajian yang dikenali “menara gading” bukannya gudang maksiat yang boleh menjatuhkan nilai kredebiliti institusi pengajian tinggi.

5. Selain itu, kebimbangan yang patut difikirkan pada jangka masa panjang ialah, perlunya silibus pengisian syaksiah dan jati diri diberikan penerapan yang serius ke dalam diri para pelajar bermula dari institusi pendidikan rendah sehinggalah ke peringkat institusi tinggi. Laman web Sugarbook mungkin salah satu dari isu yang hangat diperkatakan, namun dalam masa yang sama, statistik yang mendedahkan pengguna internet melayari laman web lucah juga perlu dibendung bersama.

6. Apa sahaja medium yang membawa kerosakan dengan maksiat sosial adalah menjuruskan manusia ke lembah penzinaan. Perkara ini amat dibimbangi kerana amaran Rasulullah SAW berkenaan ujian akhir zaman apabila penzinaan berleluasa begitu sahaja.

Anas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يُرْفَعَ الْعِلْمُ وَيَثْبُتَ الْجَهْلُ وَيُشْرَبَ الْخَمْرُ وَيَظْهَرَ الزِّنَا

Maksudnya :
“Sesungguhnya diantara tanda-tanda kiamat adalah diangkatnya ilmu dan merebaknya kebodohan dan diminumnya arak serta  berlakunya penzinaan secara terang-terangan”. – riwayat al-Bukhari

7. DUPP juga menyeru kepada semua individu yang ada mendaftar akaun sama ada secara serius terlibat dengan aktiviti yang bercanggah tersebut atau secara suka-suka untuk nyahaktif dan terus menutup akaun tersebut. Bagi yang telah terlanjur, masih belum terlambat untuk kembali memulihkan diri ke arah kebaikan.

8. Dalam konteks ini, tindakan tegas perlu kepada pemilik laman web dan dalang yang menjalankan urusniaga yang haram ini bagi membendung secara serius. Dan dalam masa yang sama, mereka yang terlibat perlu diberikan rawatan psikologi, pendidikan agama dan kaunseling untuk kembali pulih agar tidak mencemarkan nama baik agama, keluarga dan negara.

Firman Allah Taala:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” – Surah al-Isra’ :32

Ulamak Perteguh Muafakat
Islam Memperkukuh Perpaduan

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat