Home Artikel PAS Pahang

Kerajaan Mesti Berani Lakukan Transformasi Penguatkuasaan

525
SHARE

TRANSFORMASI penguatkuasaan mesti dimulakan Kerajaan Perikatan Nasional sebagai satu daya usaha mengubah pelbagai masalah dalam sistem tadbir urus negara dan rutin kehidupan rakyat. Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pasti mempunyai kesungguhan politik dan keberanian untuk melakukan perubahan ini secara hikmah bijaksana.

Selain pada aspek undang-undang, antara tidak kurang penting juga adalah menangani, mengekang dan menghindarkan kepentingan awam daripada kemudaratan sebagaimana diajar Islam. Ia juga sebahagian daripada tuntutan mencegah kemungkaran yang mesti hadir bersama segala curahan kebaikan perlu diadakan oleh pihak pemerintah.

Ledakan panas dari isu Sugarbook hakikatnya bukan baharu, ia telah lantang disuarakan PAS dan banyak pihak sejak awal kemunculan platform tersebut. Namun, ia bagai ‘dipayungi’ oleh kuasa ketika itu. Hanya hari ini baharulah semua pihak nampak akibat buruk yang sedang berlaku. Tetapi belum terlambat untuk kita menyelesaikan isu ini daripada menjadi barah.

Kesilapan hingga menjadi kerosakan awam oleh sikap masa lalu mesti menjadi pengajaran dan dipastikan tidak berulang. Ketika ini, penyiasatan sudah menjadi langkah Sekunder. Sebaliknya tindakan utama dan segera tanpa ragu-ragu mesti diambil terutama oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah menyekat terlebih dahulu akses ke platform tersebut.

Semua pihak harus mengakui, bahawa kewujudan platform ini hanyalah kemudahan teknologi aplikasi, tetapi ianya berupa muslihat atau helah yang sebenarnya menjalankan kegiatan pelacuran elit. Pihak berkuasa tidak seharusnya rabun apatah lagi bersikap lemah mendepani perkara licik dan curang seperti ini. Jenayah dijana dari platform ini mesti mengarah untuk tindakan supaya ia ditamatkan.

Lebih buruk dan jahat, apabila ia mensasarkan generasi bijak pandai yang sedang kita asuh di menara gading sebagai pewaris dan pemimpin di masa depan. Ia seolah-olah menunjukkan negara ini sedang diruntuhkan secara halus. Kerajaan Perikatan Nasional wajar membuktikan ia juga adalah penyelamat masa depan rakyat, setelah menyelamatkan pemerintahan negara ini daripada Pakatan Harapan.

Menjamin isu ini dapat diselesaikan secara menyeluruh dan hingga ke akar umbinya, pihak berkuasa bukan sahaja mestilah menyiasat semua pihak terbabit dengan kegiatan ini, tetapi wajib mencari dalang di belakang tabir platform ini. Kerana kegiatan mungkar kelas elit seperti ini seringkali memberi pulangan lumayan di mana terdapat pihak berkepentingan meraih kemewahan.

Ini perkara lebih utama dibongkar dan dibanteras yang menjadi paksi kejahatan aktiviti terkutuk tersebut berlaku. Ketika sama kerajaan mesti juga melakukan penambahbaikan kepada segala kelompangan aspek undang-undang dan penguatkuasaan. Ini bagi memastikan benih-benih kegiatan songsang seperti ini tidak akan kembali wujud dalam segala tipu daya yang mungkin diadakan.

Kerajaan, NGO dan semua pihak bertanggungjawab juga mesti menggiatkan lagi usaha dakwah, pembinaan sahsiah dan program kerohanian yang dapat membina generasi anak Malaysia. Ketika sama, penyelesaian kemelut kemiskinan yang juga menjadi punca perkara seperti ini terjadi mesti ditangani dengan bijak memanfaatkan segala kekayaan dimiliki oleh negara ini.

Sepertimana nasihat Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, kerajaan mesti berbelanja untuk membantu rakyat yang sememangnya tidak dinafikan sedang teruji di era pandemik COVID-19 ini. Kesempitan hidup seperti ini adalah fitrah ketakutan manusia, namun ia tidak harus menjadi fitnah hingga melakukan perbuatan yang akan memusnahkan diri, tamadun serta masa depan dunia dan akhirat.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”
“Pahang Sejahtera”

YB USTAZ MOHD TARMIZI YAHAYA
Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang
ADUN Panching