IPOH: Naib Ketua Ulamak PAS Negeri Perak, Ustaz Salleh Said mengetuai rombongannya mengadakan kunjungan ke Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Istiqamah, Bandar Meru Raya, di sini hari ini.
Beliau meluangkan masa melihat sendiri suasana pembelajaran 25 murid Tahun Satu yang memulakan pengajian selaku perintis di premis itu sejak pembukaan sesi pada 3 Januari lalu.
Kehadiran beliau dan anggota rombongan disambut sendiri Ketua Pemuda PAS Kawasan Tambun, Ustaz Hafez Sabri yang juga Penasihat SRITI Kawasan.
Ustaz Salleh menyifatkan usaha oleh Dewan Pemuda PAS menerusi bidang pendidikan itu merupakan sumbangan kepada masyarakat yang sekali gus melakar sejarah penting bagi PAS Tambun.
Beliau selaku juga Yang DiPertua PAS Tambun turut menyeru sokongan masyarakat bagi menggerakkan kelancaran persekolahan tersebut untuk diperluaskan lagi seterusnya mendukung cita-cita PAS.
Masyarakat yang prihatin untuk bersama usaha ini boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Rakyat 110441005292 atas nama SRITI Al-Istiqamah Resources