Home Artikel PAS Melaka

SRI Ahmadiah Melaka Rayu Sumbangan Kebajikan Guru

1234
SHARE

Oleh: Shawal Ahmad

KOTA MELAKA: Sekolah Rendah Islam (SRI) Ahmadiah, Telok Mas Negeri Melaka hari ini merayu sumbangan infaq daripada orang ramai bagi membantu para guru-guru yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Pegawai Kewangan Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS), Noorfazilah Ismail, sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, premis SRI Ahmadiah telah diarahkan agar ditutup sebagai langkah mencegah penularan Covid-19 manakala guru-guru hanya melaksanakan tugas mereka dari rumah selaras dengan saranan pihak kerajaan.

Beliau berkata, penutupan sekolah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu akibat pandemik coronavirus (COVID-19) tidak bermakna tugas guru turut terhenti.

“Mungkin sebilangan orang tidak tahu atau tidak sedar, tugas guru berterusan walaupun ketika PKP. Bukan hanya terbabit dalam pengajaran dan pembelajaran secara atas talian, semua guru pada masa sama perlu memastikan silibus pengajaran tetap dipenuhi dan pelajar tidak ketinggalan walaupun tidak perlu hadir ke sekolah.

“Sudah pastilah ada kalangan guru-guru ini yang terjejas dari segi perbelanjaan mereka berikutan pelaksanaan PKP ini kerana gaji mereka sebenarnya bergantung kepada pembayaran yuran sekolah, justeru dengan penuh rendah diri kami merayu sumbangan kewangan daripada orang ramai agar kebajikan mereka terus terbela.

“Saya menyeru agar semua pihak dapat memberi sumbangan walaupun hanya sekadar RM1 kerana ia amat bermakna buat anak-anak PASTI ini,” jelas beliau kepada Wartawan Rakyat Melaka (WARM).

Tambah Noorfazilah lagi, mereka yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun BANK MUAMALAT bernombor 0401-0003304-71-7 atas nama Sekolah Rendah Islam SRI Ahmadiah.

“Bukti sumbangan hendaklah dihantar kepada kami menerusi e-mel di alamat sri_ahmadiah@yahoo.com atau melalui aplikasi whatsapp di talian 012-6941849 untuk tujuan rekod,” katanya lagi ketika dihubungi di sini.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)