Home Berita PAS Selangor

Sporadik : Jaga diri, bergandingan capai imuniti kelompok – Ketua DPPK Hulu Langat

11
SHARE

Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

Oleh : Zurk Ahmad
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Langat

Artikel | Kes sporadik bermaksud kes yang dikesan di dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster sedia ada. Kes ini dikesan melalui saringan di tempat kerja, saringan dalam komuniti, ataupun dari saringan kes bergejala.

Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kes sporadik tidak bergejala tetapi boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang berada di sekeliling mereka yang tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dengan betul.

Dari 1 Januari 2021 [Minggu Epidemiologi (ME) ke-53/2020] hingga 19 Jun 2021 (ME ke-24/2021), Malaysia telah merekodkan sebanyak 578,105 kes COVID-19. Daripada jumlah tersebut sebanyak 398,846 kes (69%) adalah kes sporadik di mana negeri tertinggi yang melaporkan kes sporadik adalah negeri Selangor dengan 151,725 kes (38%), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 44,517 kes (11.2%) dan diikuti oleh negeri Sarawak sebanyak 40,889 kes (10.3%).

Pada ME ke-24, tiga daerah yang mencatatkan jumlah kes sporadik tertinggi di Malaysia adalah Daerah Petaling dengan 3,905 kes, Daerah Hulu Langat dengan 2,783 kes, dan Daerah Klang dengan 2,482 kes.

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang diumumkan pada 12 Mei 2021 (ME ke-19) dilihat telah berjaya mengawal peningkatan kes-kes kluster pada ME ke-24, namun kes-kes sporadik masih tidak menunjukkan penurunan yang ketara. Inilah yang membimbangkan kita.

Antara jalan keluar terbaik untuk memenangi “pertarungan” ini adalah dengan mencapai tahap 80% imuniti kelompok (Herd Immunity). Oleh itu tidak boleh tidak kita perlu bersama berganding bahu menyokong program vaksinasi kebangsaan yang dilihat berada di landasan terbaik ketika ini.

Dengan jumlah kemasukan 12 juta dos vaksin pada bulan ini serta kadar vaksinasi yang melepasi sasaran 300 ribu dos sehari dan dijangka meningkat sehingga 400 ribu dos sehari dalam masa terdekat, kita yakin kerajaan mampu mencapai matlamat program vaksinisasi ini.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh PICK, sebanyak 3,190,789 orang atau 10% penduduk di negara ini sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 setakat 8 Julai 2021.

Kadar harian vaksinasi negara kini berada di kedudukan 10 tertinggi di dunia!

Ya, kita berada dilandasan terbaik untuk menang bersama!
Dalam pada itu, kita menyeru masyarakat untuk terus konsisten dalam mematuhi sepenuhnya SOP dan mengamalkan Tindakan Kesihatan Awam Kendiri sebagai salah satu langkah mendepani peningkatan kes sporadik dan kes Covid-19 tidak bergejala khususnya di kawasan sesak dan berisiko tinggi.

Kita saling mengingati, jaga diri, teruskan usaha dan akhirnya kepada Allah jua kita berserah…

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor