Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Solidariti Buat Ustazah Salamiah Mohd Nor

2,761 views
SHARE

Solidariti Buat Ustazah Salamiah Mohd Nor

Lontaran cadangan daripada Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor dalam ucapan perbahasan beliau sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-65 agar menghapuskan sekolah vernakular mendapat tentangan hebat daripada DAP yang telah mula menggelupur bagai cacing kepanasan, membuat laporan polis atas alasan sengaja mengaibkan dengan niat memecahkan keamanan.

Hal ini mendapat liputan luas di media arus perdana, di samping pelbagai maklum balas daripada kawan dan lawan, sedangkan ianya hanya bersifat cadangan untuk penambahbaikan sistem pendidikan di Malaysia.

Justeru, kami Dewan Muslimat PAS menyokong penuh ucapan perbahasan Naib Ketua DMPM dan menggesa agar Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Pendidikan untuk mengkaji dan meneliti saranan ini sebaiknya.

Kami juga mengalu-alukan sebarang kerjasama dua hala dan percambahan buah fikir dalam usaha menjadikan sistem Pendidikan di Malaysia bukan sahaja melahirkan manusia yang bijak, malah membentuk modal insan yang bakal menjadi pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang.

Dengan ini, kami mendesak pihak DAP untuk menarik balik laporan yang telah dibuat dan tidak memanjangkan kes ini dengan cara kebudak-budakan dan kurang matang.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

‘Islam Memimpin Wanita Sejahtera’

YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia

22 Syawal 1440H
26 Jun 2019