Home Kenyataaan Media PAS Perak

Sokong larangan penjualan arak secara terbuka | Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Negeri Perak | 3 November 2021 | 27 Rabiulawal 1443H

218
SHARE


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PERAK
3 November 2021 | 27 Rabiulawal 1443H

SOKONG LARANGAN PENJUALAN ARAK SECARA TERBUKA

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak merakamkan ucapan tahniah kepada Majlis Daerah Selama di atas tindakan melarang penjualan arak secara runcit di kedai serbaneka dan mana-mana premis perniagaan secara terbuka bermula Januari 2022.

Pemuda PAS Perak amat menyambut baik usaha yang dimulakan oleh ADUN Selama, YB Ustaz Mohd Akmal Haji Kamaruddin bersama Yang Dipertua dan Ahli Majlis Daerah Selama dengan mendapat sokongan tandatangan bantahan penduduk setempat terhadap larangan penjualan arak secara terbuka di daerah tersebut.

Islam mengajar manusia untuk sentiasa hidup bertoleransi dalam masyarakat majmuk. Meraikan kepelbagaian budaya dan adat, namun bersikap objektif dalam perkara-perkara melibatkan kepentingan awam (maslahah am) yang boleh mendatangkan kebaikan dan kesejahteraan pada seluruh masyarakat.

Sebagai contoh, Kerajaan Negeri Kelantan telah memulakan langkah ini sejak tahun 1990 lagi dengan kaedah dan garis panduan yang jelas iaitu mengehadkan lesen menjual arak berdasarkan jumlah penduduk Bukan Islam di sesuatu tempat dan ia mestilah tidak boleh dijual secara terbuka di khalayak awam.

Justeru, Pemuda PAS Perak menyeru agar semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak berautoriti di Negeri Perak merangka kaedah bersesuaian mengikut lokaliti masing-masing. Perkara ini mestilah digerakkan oleh semua pihak secara bersama dan serius.

Pemuda PAS Perak juga ingin mengucapkan Tahniah kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang telah mengazetkan Gugusan Manjoi sebagai kawasan larangan penjualan arak.

Oleh yang demikian, Pemuda PAS Perak menyatakan sokongan penuh terhadap mana-mana usaha yang diambil oleh pihak berwajib bagi menguatkuasakan larangan penjualan arak secara runcit dan terbuka di seluruh Negeri Perak khususnya di kawasan penduduk yang majoritinya Muslim. Semoga dengan usaha ini dapat menjadikan Perak sebagai sebuah negeri contoh dalam melestarikan ‘Rakyat Selamat, Negeri Sejahtera’.

“Memacu Perpaduan”
“Legasi Perjuangan”

Sekian, terima kasih

HAFEZ SABRI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak

#KenyataanMedia
#PemudaPASPerak
#LegasiPerjuangan
#MemacuPerpaduan

https://facebook.com/100047255570898/posts/405006694417846/